Yusri-Lisa Surihani Cinta 'orang seni'
KISAH cinta pasangan sama cantik, sama padan ini cukup santai dan tidak merumitkan. Mula dihidu bercinta sekitar awal tahun 2011, keduanya akhirnya mengakui berkawan rapat pada penghujung tahun sama.
24 Februari 2012 menjadi tarikh keramat bagi pasangan sama cantik, sama padan ini; Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim disatukan dengan ikatan yang lebih suci.Malah Yusry juga secara romantis mengakui, Lisa telah membuka semula hatinya yang tertutup untuk bercinta setelah kegagalan perkahwinan pertama.
Kini setelah hampir dua tahun berkahwin, pasangan ini masih lagi menjadi perhatian ramai apatah lagi, keduanya dilihat cukup romantis dan sering bersama-sama dalam beberapa majlis.
Mengakui berada di dalam lapangan yang sama adalah satu kelebihan, Lisa berkata, topik harian dia dan Yusry tidak berkisar mengenai hal semasa dan rumah tangga sahaja sebaliknya, politik dalam dunia seni juga menjadi antara isu yang sering dibincangkan bersama.
“Memandangkan kami sama-sama bergelar anak seni, jadi kami amat memahami kerjaya dan tugas masing-masing.
“Secara peribadi macam saya sendiri, saya ada orang yang boleh saya berbual mengenai pergerakan industri, yang boleh memberi pendapat dan pandangan.
“Apatah lagi Yusry adalah seorang pengkritik yang baik, maksud saya dia tidak kutuk atau pandang negatif hasil kerja orang lain tetapi dia boleh beri pandangan yang cukup baik mengenai sesuatu perkara.
“Paling penting kami sentiasa sokong antara satu sama lain dan tidak pernah cuba untuk bersaing atau cuba mengalahkan antara satu sama lain,” ujar Lisa kepada Zass.
Sependapat dengan isterinya, Yusry berkata dia juga tidak pernah campur tangan atau menghalang Lisa dari terus aktif dari bidang seni.
“Sebagai suami tentulah saya sentiasa sokongan isteri saya dan jika dia minta pendapat, saya akan beri pendapat mana yang patut. Apa yang penting dia sukses dalam kerjayanya,” katanya.
Program bersama
Pasangan yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran program pengembaraan baru, Pasport Cinta Yusry & Lisa mengakui amat teruja kerana diberi peluang bekerjasama.
“Dalam program ini kami sama-sama mengacara dan menariknya kami diberikan bajet untuk sesebuah percutian.
“Malah dalam program ini juga, penonton akan berpeluang melihat perbezaan perangai kami di mana Yusry gemar redah sahaja manakala saya pula gemarkan percutian terancang,” kata aktres berusia 27 tahun ini.
Lisa berkata, biarpun dalam mood bekerja, namun mereka menganggap ia adalah satu peluang buat kedua-duanya bercuti bersama-sama.
Tambahnya, dalam program ini penonton akan di bawa melihat banyak tempat menarik di Malaysia yang mungkin jarang dilawati atau tidak pernah diketahui.
“Program ini ada 13 episod dan kami sudah selesai menjalani empat episod dan kini kami berada di Pulau Langkawi untuk penggambaran episode kelima,” jelasnya.
Lisa berkata selepas ini mereka akan sibuk mempromosikan filem terbaru lakonan mereka iaitu Ular yang akan menemui penonton pada 5 Disember ini.
Mengakui pengalaman berlakon dalam filem Jason Chong itu suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
“Ketika pembikinan filem tersebut, kami belum berkahwin dan tidak dapat saya terjemahkan perasaan apabila berlakon dengan orang yang kita sayang sebab selama ini kita hanya berlakon dengan kawan atau rakan sesama industri.
“Tapi paling penting kami sama-sama fokus dengan kerja dan tidak mengambil kesempatan di atas kloborasi kerja dan ia juga adalah satu sesi pembelajaran buat kami,” jelasnya.
Impian Lisa
Dalam pada itu, di tebak mengenai perancangan Lisa dalam lima tahun yang akan datang, bintang utama Istanbul Aku Datang ini menjelaskan dia mempunyai keinginan untuk berada di belakang tabir suatu hari nanti.
Katanya, sebagai pelakon, dia amat menginginkan untuk menjadi seorang pengarah pada suatu hari nanti.
“Kalau bercakap pasal impian, saya beritahu tentang kerjaya sahaja ya. Walaupun masih terlalu awal untuk bercakap pasal impian tetapi saya akui teringin untuk menjadi seorang pengarah.
“Tetapi ia bukan bermakna saya mahu berhenti mencari pelakon. Sama ada mengarah sendiri atau bersama Yusry, macam saya cakap tadi ia terlalu awal untuk saya beritahu secara rapi.
Tapi saya memang teringin untuk berada di belakang tabir.
“Selain itu, saya kini juga sedang menceburi bidang perniagan interaktif secara atas talian dan ia menggunakan ‘branding’ Lisa Surihani sendiri,” kongsinya.
Perancangan Yusry
Sementara itu, bagi pengarah dan juga ahli kumpulan KRU ini, setelah dua kali mengarahkan filem berskala besar, dia kini sudah mempunyai perancangan tersendiri dalam penghasilan filem animasi.
Menurut Yusry, dia tidak lagi mempunyai perancangan untuk mengarahkan sebuah lagi filem epik dan untuk projek akan datang, dia bakal mengarahkan filem Cicakman 3 pada bulan Januari ini.
“Saya kalau boleh mahu mengikut aliran semasa dan tidak mahu melawan arus. Buat masa ini saya hanya merancang untuk menghasilkan filem animasi sahaja.
“Apa yang penting fokus utama saya selepas promosi filem Ular adalah penggambaran filem Cicakman 3 dan sekali gus menjadi momen pertama kali saya dan Lisa bekerjasama sebagai pelakon dan pengarah,” akhirinya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.