Liga Lawak Superstar - OMG terus mara

Liga Lawak Superstar - OMG terus mara
Pasukan B ketika di pertarungan kedua.

Liga Lawak Superstar - OMG terus mara


MEMASUKI episod kelima, program hiburan terbaru siaran TV3, ‘Liga Lawak Superstar’  melihat persaingan hebat empat kumpulan B terdiri daripada ‘Asmara Luna’ (Riezman Khuzaimi, Aidil Aziz, Ropie), ‘OMG’ (Anas Ridzuan, Akim Ahmad, Sathiya), ‘Aku Diandra’ (Sheera Iskandar, Qazeem Nor, Ilya) dan ‘Ayoub Lasak’ (Iqram Dinzly, Mikail Andre, Aziz M. Osman).

Sekali lagi, OMG  mendahului saingan minggu pertama Kumpulan B dengan mengutip 71 mata mengatasi Aku Diandra dengan mata 54, Asmara Luna dengan kutipan 43 mata dan Ayoub Lasak yang mendapat 41 pungutan mata.

Seramai lapan pelakon dan empat pelawak terkenal berentap dalam melaksanakan cabaran yang berbeza.

Peserta pula menunjukkan kehebatan mereka dalam 5 pusingan iaitu Babak Atas Lantai, Sketsa Mengecut, Alat Kawalan Jauh, Sketsa Tak Puas Hati dan Karaoke Uncle Loke selama 3 minit tanpa menggunakan skrip dalam rancangan ini.


Masih bertahan

Dua minggu lalu,  Anas, Akim dan Sathiya memegang tampuk juara mingguan dan sekali lagi berjaya menambat hati juri dengan persembahan mantap.

Walaupun ada kala melakukan kesilapan sehingga ditegur oleh juri tetap (Afdlin Aman Ramli, Ida Nerina dan Vanida Imran) namun berbekalkan nasihat yang diberikan mereka mampu berubah. Prestasi OMG agak meningkat minggu ini berbanding episod ketiga.

“Dalam episod lepas, kami terima kritikan juri sebagai panduan untuk minggu ini.

“Kami bukan pelawak profesional dan masih belajar selok belok dunia komedi.

“Komen dari setiap juri banyak bantu kami untuk menilai kelemahan persembahan kami,” kata Akim.

Dalam masa sama, Akim berkata dia agak sedih melihat kumpulan Ayoub Lasak yang mendapat keputusan tercorot setiap minggu.

“Mungkin bukan rezeki mereka minggu ini. Saya pasti mereka akan buat kejutan buat peminat.

“Sekiranya mereka menjumpai rentak persembahan, pasti ramai terkejut kerana mereka sangat serius dengan apa yang dilakukan,” katanya.


Yakin ke final

Bercakap mengenai misi OMG, Akim berkata dia yakin kumpulannya akan mara ke separuh akhir bersama tiga kumpulan lain.

Katanya, berdasarkan kutipan markah keseluruhan selama dua minggu itu mereka mendahului rakan seperjuangan yang lain dengan 145 mata.

Berbanding dengan peserta lain, Aku Diandra dengan 107 mata, Asmara Luna dengan kutipan 89 mata dan Ayoub Lasak yang mendapat pungutan sebanyak 87 mata.

“InsyaALLAH kami akan kekalkan kejuaraan kami minggu akan datang," kata Akim.

Menurutnya, bukan senang bagi mereka yang tiada pengalaman berlawak.

“Kami masih berjuang untuk memahirkan diri dengan dunia lawak.

“Bagi saya sendiri, menonton rancangan lawak tempatan dan antarabangsa dapat membantu peroleh idea lebih segar,” katanya.

Untuk makluman, selepas empat pertarungan, dua kumpulan yang berjaya meraih markah tertinggi dalam kumpulan masing-masing akan bersaing di pusingan separuh akhir.

Hanya dua pasukan terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir untuk merebut gelaran Juara Liga Lawak Superstar serta membawa pulang hadiah tunai RM250,000.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers