Ben Amir terus cuba nasib

Ben Amir terus cuba nasib
Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin

Ben Amir terus cuba nasib


MUNGKIN nama Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 23, kurang dikenali ramai dalam dunia hiburan.

Apatah lagi, dia baharu sahaja menceburkan diri dalam bidang lakonan awal tahun ini tanpa apa-apa pengalaman atau pengetahuan asas sebagai pelakon.

Menceritakan di awal pembabitannya, Ben berkata, dia meminati dunia seni sejak dari kecil lagi dan tidak kisah jika terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sebelum berjaya.

“Tanpa mengenali sepak terajang dunia seni kita boleh rebah dan jatuh sebelum masanya.

“Namun, saya tidak kisah jika watak yang ditawarkan hanya melibatkan satu atau dua babak.

“Bagi saya, ia merupakan peluang keemasan dan jangan sesekali cerewet memilih watak,” kata finalis Hero Remaja 2011/12 ini.

Mengakui sangat meminati filem aksi, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini berkata dia pernah memegang watak sebagai anggota polis dalam Abang Long vs Kak Long yang ditayangkan sebelum Aidilfitri lalu.

Katanya, watak itu sedikit sebanyak dapat merealisasikan impiannya.

“Mungkin aksi yang ditonjolkan kurang lasak berbanding filem luar negara tetapi saya tetapi berbangga dapat terlibat sama dalam pembikinan telemovie ini.

“Saya harap suatu hari nanti produksi tempatan dapat menghasilkan filem aksi yang dapat memaparkan elemen aksi dan lawan,” ujar Ben.

Dalam pada itu, Ben turut memuji serta mengagumi pengarah muda yang kian tersohor, Syamsul Yusof, dalam menghasilkan filem aksi yang sangat hebat seperti KL Gangster, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift.

“Dia (Syamsul) sangat hebat. Bukan saja jalan cerita, bahkan babak-babak aksi yang dipaparkan juga kelihatan lebih realistik dengan penggunaan teknik CGI.

"Sekiranya ada peluang, saya ingin membintangi filem-filem yang hebat seperti itu,” katanya yang turut meminati lakonan Bront Palarae.


Buka perniagaan sendiri

Selain lakonan, Ben berkata, dia juga membuka perniagaan pakaian dan kereta bersama rakannya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

"Saya baru sahaja dua tahun menceburi bidang ini begitu juga dengan syarikat saya.

"Sepatutnya dari awal lagi kita harus bijak merencanakan masa depan.

"Bidang seni ada pasang surutnya apatah lagi kita yang baru setahun jagung berlakon," ujarnya.

Tegas Ben, pelakon baharu sepertinya tidak seharusnya terlalu mengejar glamor kerana ia tidak kekal selamanya.

"Saya sekarang dalam proses memasarkan jenama pakaian sendiri iaitu Chivalry's Club.

"InsyaALLAH... tahun hadapan saya akan melancarkan butik sendiri. Buat masa sekarang saya masih memilih material pakaian dan rekaan terbaik untuk jenama ini," katanya.

PROFIL
Nama : Muhammad Amir Sabaruddin
Umur : 23 tahun
Asal : Kuala Lumpur
Adik beradik : Anak keempat daripada lima beradik
Pendidikan Tertinggi : Diploma Pengajian Perniagaan (UiTM Lendu, Melaka)
Drama : Fira Ayuni, Merah Bukan Jambu & Palyboy Itu Suamiku
Telemovie : Amin, Bulan Ku Di Hentian, Hajah Bakhiliah & Abang Long Vs Kak Long
Filem : Kriptik atau Romeo Kota arahan Aaron Aziz

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers