Suria FM - Bukan radio 'pancing duit'!

SuriaFM - Bukan radio 'pancing duit'!

Suria FM - Bukan radio 'pancing duit'!


SuriaFM - Bukan radio 'pancing duit'!


HAMPIR lapan tahun beroperasi, stesen radio, SuriaFM, kini berjaya disenaraikan dalam kelompok empat stesen radio komersial berbahasa Melayu paling popular.

Walaupun diperkenalkan pada 26 Disember 2005, SuriaFM mula beroperasi di seluruh negeri pada 24 November 2007.

Bersiaran selama 24 jam, Suria FM memainkan muzik-muzik dari era tahun 90-an hinggalah lagu-lagu yang terkini.

Menampilkan pelbagai pilihan lagu terbaik dan terkini bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Indonesia, radio ini menyasarkan golongan pendengar di antara 25 hingga 34 tahun.

Sehingga kini radio di bawah kelolaan Rimakmur Sdn Bhd, ini berjaya mengekalkan status stesen radio popular di Malaysia dengan catatan 2.23 juta pendengar di sepanjang tahun.

Paling membanggakan, pendengar SuriaFM secara digital telah meningkat sebanyak 160 peratus dari 176,000 kepada 457,000 pendengar pada tahun ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai kejayaan demi kejayaan stesen radio ini, Zass mendapatkan Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin, untuk berkongsi cerita di sepanjang tahun ini.

Sehingga kini, bagaimana dengan sambutan dan penerimaan pendengar terhadap SuriaFM?

Alhamdulillah, sambutan yang kami terima dari pendengar SuriaFM sangat menggalakkan.

Kami amat berterima kasih kepada semua pendengar baru yang memilih SuriaFM sebagai radio pilihan.

Buat semua pendengar SuriaFM yang masih setia selama beberapa tahun ini, jutaan terima kasih kerana sokongan ini dan diharapkan ia akan berterusan.

Boleh ceritakan sedikit mengenai kejayaan SuriaFM di sepanjang tahun ini...

Sehingga kini, SuriaFM telah mencatatkan kenaikan yang tidak dijangkakan. Malah, pendengar pendengar setia SuriaFM, kini meningkat sehingga 457,000 pendengar di sepanjang tahun ini.

Bukan di Lembah Klang sahaja, kawasan selatan termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Johor juga turut mencatatkan peningkatan tinggi sebanyak 461,000 berbanding sebelum ini hanya 61,000. Ia adalah satu peningkatan yang sangat membanggakan.

Bagaimana pula dengan segmen? Apakah yang paling menarik dan paling tinggi rating?

Apa yang kami kenal pasti, segmen di Suria FM telah menjadi kegemaran semua pendengar. Bukan sahaja segmen, Ceria Pagi yang dikendalikan oleh pasangan penyampai, Halim Othman dan Adibah Noor, malah segmen Suria Cinta, DJ Lin juga mencatat jumlah masa tertinggi pendengar berbanding stesen radio berbahasa Melayu lain.

Namun, tidak kurang juga dengan segmen-segmen lain yang pastinya memberikan keceriaan dan kelainan kepada pendengar. Kami bahagikan segmen ini kepada tiga kumpulan iaitu hari Isnin hingga Jumaat, Sabtu dan Ahad. Setiap segmen akan dikendalikan DJ yang berbeza mengikut cara mereka yang tersendiri.

Alhamdulillah, setakat ini kami telah mencapai target pendengar yang kami tetapkan. Kami juga kini menerima peningkatan dari kalangan pendengar berpendapatan tinggi.

Radio manakah yang menjadi pencabar utama Suria FM?

Kami percaya bahawa Suria FM berada di dalam kelas tersendiri dan tiada persaingan secara langsung. Oleh itu, setiap stesen radio secara umumnya merupakan pesaing terhadap stesen radio lain sama ada secara langsung atau tidak.

Untuk mengelakkan daripada tercipta kontroversi di kalangan DJ ataupun terlepas cakap semasa 'on air', adakah SuriaFM mempunyai garis panduan dalam perkara ini?

Mana-mana stesen radio pasti mempunyai garis panduan. Suria FM juga telah mengambil langkah dengan mewajibkan semua penyampai radio kami untuk menghadiri latihan pematuhan ataupun ‘compliance training’. Setiap daripada penyampai ini juga diberikan ‘Code of Conduct for Broadcasting’ di mana mereka perlu baca dan fahaminya terlebih dahulu.

Mengenai peraduan yang memberi imbuhan wang, adakah ini salah satu cara untuk menarik minat pendengar untuk terus bersama SuriaFM?

Ini adalah salah satu cara bagi kami untuk mengucapkan terima kasih kepada para pendengar. Kalau boleh, kami nak hadiahkan wang pada setiap orang tapi mustahil untuk melakukannya. Jadi, inilah peluang kami untuk memberikan hadiah kepada pendengar bertuah sekali gus menceriakan mereka.

Pernah didakwa menipu pendengar dalam peraduan Ketawa & Ceria, adakah ia memberi impak buruk kepada Suria FM?

SuriaFM mengekalkan tahap integriti yang tinggi dengan semua orang, sama ada kakitangan kami, klien atau pendengar.

Apabila Suria FM mengamalkan tahap integriti yang tinggi, kami berharap perkara sebegitu tidak akan berulang lagi.

Bagaimanapun, SuriaFM akan sentiasa memastikan mesej kami adalah jelas dan mudah difahami pendengar kita. Kami sentiasa terbuka untuk sebarang pertanyaan jika ada mana-mana pendengar yang ada masalah kekeliruan.

Apa pula pandangan anda bila Suria FM dilabel radio ‘pancing duit’?

Tidak sama sekali, kerana SuriaFM lebih dikenali sebagai stesen yang menceriakan dunia anda. Apa yang kami berikan kepada pendengar bertuah adalah salah satu cara kami menghargai mereka.

Akhir sekali, apa harapan anda untuk Suria FM?

Kami amat berharap, kami sentiasa berada di tahap teratas dan sentiasa berdiri sebagai stesen radio yang mampu menceriakan pendengar sama seperti slogan yang kami gunakan, Suria FM, Menceriakan Duniamu.

Kejayaan ini akan terus menjadi semangat kepada kami untuk menampilkan yang terbaik dan mencapai kejayaan demi kejayaan setiap tahun.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers