Mariani Ismail, 80 |
Saya rindukan arwah...
"SAYA rindukan mereka... Kini, tinggal saya seorang sahaja."
Demikian luahan sayu yang mampu menggambarkan kesedihan seniwati veteran, Mariani Ismail, 80.
Masih terkejut dengan pemergian rakan baiknya, Seniwati Latifah Omar pada 9 Jun lalu, jiwanya terus diragut dengan kehilangan seorang lagi rakan, Datin Umi Kalthum pada 24 Julai lalu.
Tidak sempat untuk meraikan Syawal bersama seperti tahun sebelumnya, Aidilfitri kali ini disambut dengan rasa kosong.
"Saya sendiri tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya. Terlalu kosong dan tiada teman untuk berbual lagi.
"Tahun ini, raya saya tanpa mereka semua. Ketika mereka masih ada, kami akan meluangkan masa untuk beraya bersama dan bermaaf-maafan.
"Kehilangan mereka amat dirasai dan kadang kala, saya terfikir, mungkin masa saya tidak lama lagi," katanya yang hanya menyambut perayaan di Kuala Lumpur sahaja di samping anak-anak.
Tambah Mariani atau nama sebenarnya, Mariam Ismail, sejak pemergian Latifah Omar, dia mula berkawan rapat dengan Umi Kalthum dan sering bertanya khabar.
"Sejak kehilangan Latifah, Umi Kalthum lah tempat saya berbicara. Kami akan saling bertanya khabar tiga hari sekali.
"Jika lama tidak berjumpa, kami akan membuat perancangan untuk keluar bersama dan menghadiri majlis hiburan.
"Namun, sejak akhir-akhir itu, dia sering mengadu kepada saya yang dia kurang sihat. Tak sangka pula dia pergi dengan mudah dan tanpa pesanan," katanya.
Kongsi susah senang
Mengimbau kenangan bersama Seniwati Latifah Omar, Mariani memberitahu dirinya dan arwah sangat rapat seperti adik-beradik.
Menurut pelakon filem Sri Mersing ini, sejak zaman perfileman klasik lagi, mereka mula berkawan dan mendiami satu rumah bersama adiknya, Puan Sri Saloma.
"Saya berkawan rapat dengan Latifah sejak zaman muda lagi. Kami tinggal bersama, sekali dengan Saloma.
"Walaupun produksi menyediakan bilik untuk setiap pelakon, namun kami lebih selesa untuk tinggal bersama di luar, berdekatan dengan pejabat produksi.
"Setiap hari, saya akan memandu kereta untuk menghantar Saloma ke kelab malam untuk membuat persembahan. Apabila habis persembahan, saya dan Latifah akan mengambil Saloma.
"Kami dah macam adik beradik yang boleh berkongsi apa sahaja sewaktu susah mahupun senang. Jadi, persahabatan itu kekal hingga ke penghujung nyawa mereka," katanya sayu.
Pada 9 Jun lalu, Latifah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk usus.
Bakal jalani pembedahan
Walaupun usianya sudah mencecah 80 tahun, namun Mariani tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Pun begitu, sejak empat bulan lalu, doktor mengesahkan Mariani menghidap penyakit ulser usus dan perlu dirawat segera.
"Sebelum ini, memang saya tidak pernah mengalami apa-apa penyakit yang merbahaya. Sehinggalah saya sakit perut yang memaksa saya untuk ke klinik mendapatkan rawatan.
"Sebelum ke hospital, saya memang dah tawakal sekiranya doktor mengesahkan saya mengidap kanser usus.
Alhamdulillah, penyakit saya masih belum mencapai tahap kanser dan saya memilih untuk berubat secara tradisional.
"Saya memang fobia untuk mendapatkan rawatan hospital setelah melihat cara pembedahan Latifah. Walaupun cara tradisional, ia turut melibatkan proses pembedahan kecil untuk membuang kesakitan itu," katanya yang bakal menjalani pembedahan pada penghujung Ogos ini.
Raya tanpa anak
Menurut Mariani, walaupun dikurniakan keluarga besar, namun dirinya pernah melalui pengalaman beraya tanpa kehadiran anak-anak.
Namun, jelas bekas ratu cantik Singapura ini, dia akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan apabila anak-anaknya mempunyai urusan sendiri yang perlu diberi keutamaan.
"Di usia begini, saya sering merindui suasana sambutan hari raya ketika di Singapura. Ianya sangat meriah dan mungkin tidak akan dapat dirasai kini.
"Bukan sahaja meriah, malah ketika itu semua masyarakat dan penduduk setempat saling meraikan hari lebaran dengan kunjung mengunjungi.
"Namun, sambutan di Kuala Lumpur sedikit hambar dan budaya yang diamalkan suatu ketika dahulu telah hilang," katanya yang turut menyediakan hidangan istimewa, Mee Siam Singapore Style setiap kali raya.
Raya tak semeriah dulu
Bukan sahaja Mariani, malah anaknya yang juga penyanyi, Rozita Rohaizad mengakui sambutan raya di ibu kota tidak semeriah di Singapura pada suatu ketika dahulu.
Menurut Rozita, perbezaan raya dan hari biasa hanyalah pada makanan dan hidangan sahaja.
"Rutin setiap kali raya, saya menunaikan sembahyang raya dan pergi ke kubur. Selepas itu, suasana kembali seperti biasa.
"Tetapi, kalau mahu berjalan, inilah masanya kerana jalan lengang kerana ramai yang pulang ke kampung halaman.
"Sejak pemergian arwah suami hampir tujuh tahun lalu, sambutan raya saya juga tidak seperti dahulu. Kalau suami masih ada, kami akan beraya di Singapura dan menziarahi sanak saudaranya.
"Kini, semuanya sudah berubah mengikut peredaran masa dan zaman," katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.