Aziz M Osman Sekeluarga |
Aziz M Osman rindu kenangan beraya di Singapura
MEMILIKI keluarga besar merupakan satu kelebihan dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan suasana yang lebih meriah.
Bukan sahaja diceriakan dengan suara anak-anak, malah kehadiran sanak saudara yang datang berkunjung pasti memberikan seribu satu pengalaman manis ketika menyambut Syawal.
Bagi pengarah dan penerbit terkenal, Aziz M Osman, 51, Aidilfitri yang disambut setiap tahun lebih bermakna dengan melihat kegembiraan anak-anaknya yang semakin membesar dan meningkat remaja.
"Alhamdulillah, tahun ini kami sekeluarga beraya di Damansara sahaja kerana semua adik-beradik dan bonda, Afida Es berada di sini.
"Pada hari raya ketiga, kami sekeluarga berangkat pulang ke kampung halaman isteri, Puteri Lily Lokman di Serkam Pantai, Melaka.
"Seminggu selepas itu, barulah kami pulang beraya ke Singapura dan menziarahi sanak saudara yang masih ada di sana," katanya yang memiliki tujuh anak.
Hasil perkahwinan pertama, Aziz dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Nur Fatihah, 25, manakala lima anak lagi bersama bekas isteri, Datin Nor Aliah Lee iaitu Puteri Nur Asyikin, 22, Putera Mohd Aiman, 19, Puteri Nur Aishah, 15, Puteri Nur Ain, 13 dan Putera Mohd Ameen, 11.
Selepas mendirikan rumah tangga bersama Puteri Lily, 25, yang juga anak kepada pelakon, Lokman Ghani, Aziz yang juga pemilik syarikat produksi, Ace Motion Sdn Bhd, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Puteri Nur Azzahra, dua tahun.
1 Syawal yang bermakna
Sejak kelahiran Puteri Nur Azzahra atau lebih manja disapa Ara, 1 Syawal Aziz sekeluarga lebih bermakna.
Mana tidaknya, si kecil itu turut berkongsi tarikh 1 Syawal dengan ulang tahun kelahirannya.
"Ara dilahirkan pada 31 Ogos 2011 bersamaan 1 Syawal. Jadi, dia memiliki dua tarikh hari lahir.
"Jika diikutkan bulan Islam, setiap 1 Syawal adalah hari lahirnya. Jadi, ia memberi 'extra special' buatnya.
"Selain beraya, kami juga menyambut ulang tahun kelahiran Ara dan 31 Ogos nanti sambut lagi," katanya yang memilih pakaian sedondon ketika berhari raya.
Rindu suasana dahulu
Walaupun dunianya dikelilingi suara hiruk pikuk anak-anak, namun jauh di sudut hati, Aziz merindui zaman sambutan perayaan satu ketika dahulu.
Menurut anak kelahiran Singapura ini, sambutan hari raya di Singapura jauh lebih meriah berbanding di ibu kota.
"Saya sering merindui suasana beraya di sana, memang kami sekeluarga akan beraya sakan dan berkumpul semua ahli keluarga.
"Kalau dulu, musim raya itu menjadi detik-detik yang dinantikan. Namun, segalanya telah berubah dan ianya hanya tinggal kenangan.
"Saya merindui sambutan perayaan ketika saya kecil-kecil dahulu. Ianya sangat meriah dan semuanya dapat berkumpul dan menyediakan juadah bersama.
"Kami tinggal di sebuah kawasan kampung dan suasana itu sangat berbeza dengan budaya hidup di ibu kota. Namun kini semuanya memiliki keluarga sendiri dan kami akan berkumpul di ibu kota sahaja untuk beraya," katanya yang masih memilih juadah pilihan dari Singapura, Sambal Goreng Pengantin hidangan di pagi raya.
Luahan Aziz turut diakui oleh ibu tercinta, Afida Es, yang sentiasa merindui sambutan raya di Singapura.
"Zaman dah berubah. Kini, raya hanya disambut semata-mata menghabiskan puasa sahaja. Tidak sama seperti dahulu.
"Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa juga beraya sakan," katanya.
Terkenang arwah bapa
Hampir 12 tahun kehilangan bapa tercinta yang juga pelakon dan penyanyi terkenal di era 60-an, Allahyarham M Osman, namun rasa rindu Aziz pada arwah tidak pernah berubah.
Setiap kali tiba 1 Syawal, Aziz pasti terkenangkan arwah bapanya yang menjadi orang yang paling sibuk menjelang Syawal.
"Pada malam raya, ayah tak akan tidur. Dia akan tukar langsir dan membersihkan seluruh rumah. Malah, kerja-kerja memaku dan menukang serah sahaja kepadanya. Bonda yang menjadi orang yang mengarah dan dia akan buat.
"Bila kami bangun pagi-pagi, tengok rumah dah siap dan kemas. Jadi, sambutan raya yang pertama tanpa ayah sangat-sangat dirasai kami sekeluarga," katanya sayu.
Bercerita mengenai pengalaman raya ketika anak-anak masih kecil, bonda, Afida Es juga tidak ketinggalan dalam berkongsi kisah nakal Aziz.
"Dulu, kalau tiba musim raya, bonda buat sendiri biskut raya. Tak pernah beli. Jadi, anak-anak juga turut membantu.
"Tapi, kalau Aziz yang buat, dia tekap kuih tu jadi macam-macam bentuk. Ada yang macam ulat, ular dan bentuk binatang lain.
"Apa nak buat, anak-anak tengah membesar ketika itu. Kadang-kadang, tergelak seorang bila mengingatkan gelagat mereka," katanya.
Pengalaman raya di Melaka
Walaupun tidak berkesempatan untuk meraikan minggu pertama raya di Singapura, namun kerinduan Aziz terubat setelah beraya di kampung isterinya di Melaka.
Menurut Aziz, kampung isterinya itu masih mengekalkan budaya setempat seperti kunjung-mengunjungi yang diamalkan kebanyakan kampung.
"Kampung isteri saya tu memang meriah sebab ia betul-betul di kawasan kampung. Malah, adat kunjung mengunjungi mereka masih diamalkan.
"Kalau di ibu kota, orang lebih suka menghias rumah agar cantik, namun di Melaka, mereka tidak tertumpu pada hiasan rumah. Walaupun rumah mereka tidak seberapa, namun mereka tetap mengunjungi antara satu sama lain.
"Sekurang-kurangnya, rindu saya pada suasana kampung terubat bila melihat budaya mereka. Sebenarnya, itulah budaya yang sebenar ketika menyambut Aidilfitri," katanya mengakhiri perbualan.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.