Ahli perniagaan didakwa tipu RM1.1 juta




08/01/2013 3:33pm

SHAH ALAM — Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat RM1.1 juta membabitkan pelaburan perusahaan bijih besi di Sumatera, Indonesia.

Wong Lee Wah, 58, dari Taman Sri Andalas, Klang, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa menipu Chin Kin Phen, 62, bahawa dia boleh menguruskan pelaburan perusahaan bijih besi di Sumatera, yang telah mendorong Kin Phen menyerahkan RM100,000 dan RM700,000 dengan memasukkan ke dalam akaun CIMB milik tertuduh.

Lee Wah didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di EON Bank cawangan Jalan Kapar, Klang, pada 9 Ogos 2010 dan 23 Ogos 2010.

Dia juga didakwa menipu Kin Phen dengan tujuan sama sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan sekeping cek tunai EON Bank Bhd. berjumlah RM300,000 atas nama tertuduh pada 2 Julai 2010 di tempat sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Lee Wah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.— BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers