'Kemenangan yang penuh bermakna'


VALENCIA, Sepanyol - Berbekalkan sokongan padu daripada penyokong sendiri, pemandu Ferrari, Fernando Alonso muncul juara perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Eropah kelmarin.



Selepas mengalami kekecewaan pada sesi kelayakan Sabtu lalu, pemandu kelahiran Sepanyol itu bangkit untuk menawan litar jalan raya Valencia apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 44 minit dan 16.649 saat.


Alonso meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Kimi Raikkonen dan Michael Schumacher yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.


Kejayaan itu menyaksikan Alonso berjaya merekodkan dua kejuaraan musim ini selepas menjuarai GP Malaysia di Litar Sepang awal tahun ini.


"Saya tahu peminat di Sepanyol terpaksa mengharungi saat-saat sukar pada waktu ini. Mereka terpaksa tidur di dalam karavan atau kereta hanya semata-mata mahu menikmati perlumbaan ini (GP Eropah).


"Kami tidak melakukan yang terbaik seperti yang diharapkan oleh peminat pada (sesi kelayakan) Sabtu lalu.


"Jadi, kami berazam bangkit hari ini (kelmarin) dengan kemenangan," jelas Alonso yang terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-11.


Dengan kehadiran hanya 50,000 peminat, ia jelas menunjukkan bandar Valencia mengalami kesan buruk akibat krisis ekonomi yang melanda Eropah.


Valencia sendiri mengalami kesukaran untuk menganjurkan perlumbaan GP musim ini sehingga menyebabkan pemilik F1, Bernie Ecclestone memutuskan dua perlumbaan di Sepanyol akan dilakukan secara bergilir antara Valencia dan Barcelona.


"Kemenangan di tempat sendiri kali ini lebih bermakna buat saya. Mungkin terbaik sepanjang karier saya," kata Alonso.


Dalam pada itu, nasib malang sekali lagi menimpa pemandu sensasi McLaren, Lewis Hamilton.


Hamilton gagal menamatkan perlumbaan kelmarin berikutan insiden pelanggaran yang berlaku antara dia dan pemandu Williams, Pastor Maldonado.


Hamilton yang merupakan juara dunia 2008 bersaing hebat dengan Maldonado bagi memburu tempat ketiga sebelum kedua-dua pemandu itu berlanggar pada pusingan terakhir.


Insiden itu menyebabkan Hamilton terkeluar daripada perlumbaan manakala Maldonado dikenakan penalti 20 saat yang mana menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.


"Ia hari yang sukar bagi kami (McLaren). Namun, ini sudah menjadi lumrah dalam perlumbaan F1 dan kamu perlu mengharunginya.


"Seperti biasa, saya meletakkan sepenuh jiwa saya pada perlumbaan kali ini, namun nasib tidak menyebelahi saya," kata Hamilton.


Selepas berakhirnya GP Eropah, Alonso kekal berada di tangga teratas kategori pemandu apabila merekodkan 111 mata, diikuti Mark Webber (91), Hamilton (88), Sebastian Vettel (85) dan Nico Rosberg (75).


Red Bull pula unggul bagi kategori pengeluar dengan mengumpul 176 mata, diikuti McLaren (137), Lotus (126), Ferrari (122) dan Mercedes GP (92). - Agensi

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers