Selangor waspada amukan PKNS


GERGASI Merah, Selangor berazam mahu meneruskan tempo kemenangan menjelang pertemuan menentang pasukan 'adik', PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.



Rentetan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini pastinya menjadi azimat paling bermakna buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam usaha memburu tiga mata berharga.


Sebelum ini, Merah Kuning membenam cabaran Felda United 2-1, Sarawak (1-0) sebelum membelasah T-Team 5-0 di gelanggang sendiri Selasa minggu lepas.


Namun pada masa sama, Irfan menasihati anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan 'amukan' PKNS yang pastinya turut mengidam kemenangan apabila sekadar seri 2-2 dengan Terengganu dalam aksi terakhir mereka sebelum ini.


"Saya tidak mahu rentak kemenangan Selangor dicalar (malam ini).


"Sudah tentu kami mahu menang, jadi saya sesekali menegaskan kepada pemain agar tidak memandang mudah cabaran PKNS.


"Justeru, kami harus berkerja dengan lebih keras serta mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri lebih memihak kepada kami di dalam usaha untuk memburu keempat berturut-turut," kata Irfan sebelum ini.


Yang pasti, tempoh rehat yang secukupnya buat pemain Merah Kuning apabila tidak beraksi pada Sabtu lepas perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan misi menamatkan saingan liga di tempat ketiga musim ini masih membara.


Malam ini, peledak berbisa Gergasi Merah, Bosko Balaban juga dijangka menggalas tugas menggempur kubu skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu bersama Fitri Shazwan dan Safiq Rahim yang turut melakar gol ketika membenam T-Team tempoh hari.


Selepas ini, Selangor yang ketika ini menghuni tangga keempat liga dengan 33 mata bakal berkunjung ke Kota Bharu berdepan pasukan di tangga kedua, Kelantan Jumaat ini.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers