Arul Kanda menyifatkan pembelian oleh CGN Group membawa komitmen pelaburan langsung asing yang penting ke Malaysia dan menunjukkan keyakinan kepada ekonomi. |
Edra Global Energy Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) secara tunai pada nilai ekuiti RM9.83 bilion, menjadikan perjanjian gabungan dan pembelian terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.
Transaksi itu, yang dijangka selesai pada Februari 2016 juga satu kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB, sebagaimana dibentangkan kepada kabinet pada 29 Mei 2015.
“CGN Group adalah pemenang jelas dalam tender antarabangsa ini, berdasarkan objektif diumumkan 1MDB sebelum ini, iaitu memaksimumkan nilai, terma komersil yang boleh diterima dan kepastian pelaksanaan transaksi,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda, dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Pembelian oleh CGN Group membawa komitmen pelaburan langsung asing yang penting ke Malaysia dan menunjukkan keyakinan kepada ekonomi, katanya.
1MDB, Edra dan anak syarikatnya telah memetrai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group untuk jualan 100 peratus pemilikan dalam semua aset tenaganya, iaitu Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd (syarikat operasi Edra).
CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.
Kenyataan itu berkata, tawaran indikatif untuk syarikat operasi Edra diterima pada Jun 2015 melalui proses tender yang ketat, berdaya saing dan antarabangsa yang dijalankan penasihat kewangan 1MDB, Maybank Investment BankBhd.
Rothschild bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Edra.
“Pelaburan ini merupakan komitmen besar oleh CGN Group sebagai sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dan kepelbagaian global,” kata Pengerusi Lembaga Pengarahnya, He Yu.
He berkata, kumpulan itu amat kagum dengan rangka kerja pengeluar tenaga bebas yang dikawal selia rapi, stabil dan telus di Malaysia, yang memberikan syarikat itu keyakinan untuk membuat pelaburan jangka panjang di negara ini.
“CGN Group adalah pelabur yang bertanggungjawab. Kami akan bekerjasama rapat dengan Edra, platform global berpangkalan di Malaysia dan dijalankan Malaysia, dan secara bersama akan membawanya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Yang paling penting, CGN Group akan memastikan bekalan tenaga yang tidak terganggu, menggunakan teknologi mesra alam dan mematuhi terma tetap perjanjian pembelian tenaga, untuk faedah rakyat Malaysia, katanya.
– BERNAMA
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.