Mampukah UMNO cawangan ubah pimpinan parti?

Mampukah UMNO cawangan ubah pimpinan parti?
Jika dinisbah dengan 21,000 UMNO cawangan di seluruh negara, jumlah mereka yang menentang masih kecil tetapi ia memberi kesan kepada kekuatan parti itu

Penentangan UMNO cawangan terhadap pucuk pimpinan parti yang semakin meningkat tidak boleh dipandang ringan.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, meskipun nisbahnya dianggap kecil berbanding 21,000 jumlah UMNO cawangan di seluruh negara tetapi ia memberi impak besar kepada kekuatan parti khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Dari segi logik, memanglah daripada kira-kira 21 ribu Cawangan UMNO yang ada keseluruhannya, angka 200 atau 2000 sekali pun masih boleh dikira kecil jumlah atau peratusannya.

“Tetapi, dengan angka itu, yang harus difikirkan ialah bagaimana kedudukan UMNO dan BN untuk menghadapi PRU 14 akan datang? Makin selesa atau makin sukar?,” tulisnya di shahbudindotcom.

Katanya lagi, bermula dengan bantahan 13 UMNO Cawangan dari Bahagian Teluk Kemang, ia menunjukkan peningkatan apabila lebih banyak bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti, termasuk 10 UMNO Cawangan dari UMNO Bahagian Sepang.

Rentetan daripada itu, lebih banyak penentangan dibuat dan dirancang untuk diadakan secara besar-besaran daripada UMNO cawangan dari seluruh negara.

“Perjumpaan Ketua-Ketua Cawangan pada 27 November nanti yang masih dirahsiakan tempatnya, tentu saja menarik kerana ia berlaku selepas mesyuarat MT di Bangunan Parlimen esok (24 November) yang dijangka memutuskan pemecatan atau penggantungan dua pemimpin kanan UMNO iaitu Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal.

“Apakah selepas Muhyiddin dan Shafie dikenakan tindakan yang semata-mata kerana menegur untuk kebaikan, jumlah Ketua Cawangan yang berani tampil itu akan terus bertambah lagi?,” tulisnya.

Katanya lagi, jika bantahan itu didalangi pihak tertentu seperti yang didakwa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hakikatnya, ia bukan dibuat calang-calang orang.

Bahkan mereka yang di belakangnya mudah dikenal pasti kerana ia dibuat dengan tidak begitu berahsia.

“Tetapi kenapa Zahid Hamidi hanya dapat mencium baunya sekarang ini? Mengapa tidak dikesan sebelum ini?

“Mengapa hanya setelah satu demi satu kumpulan Ketua Cawangan tampil secara terbuka mendedahkan diri masing-masing, barulah Zahid Hamidi mengatakan dapat mencium bau siapa dalangnya?,” Soal Shahbudin.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers