Kelab golf ditukar jadi taman mirip ‘Central Park NY’

Kelab golf ditukar jadi taman mirip ‘Central Park NY’
Abdul Rahman Dahlan menjangkakan akan mendapat bantahan Istana Selangor
untuk menukarkan Kelab Golf Diraja Selangor kepada taman awam.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mengambil alih Kelab Golf DiRaja Selangor di Jalan Tun Razak dan menukarkan padang tersebut kepada taman awam.

Rancangan itu selaras dengan hasrat kementerian berkenaan untuk menjadikan padang golf tersebut mirip Central Park di New York.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan kewujudan padang golf di tengah-tengah Kuala Lumpur juga tidak lagi sesuai pada masa ini.

“Kita terima cadangan daripada rakyat agar kita menukarkan padang golf berkenaan menjadi taman awam dan lokasi padang tersebut dialihkan di kawasan luar Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Majlis Sambutan Hari Habitat 2015, di One City, Subang Jaya pada Isnin.

Jelas Abdul Rahman lagi, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai status padang ini.

“Saya sedar, ia tidak dapat dilakukan dengan sekelip mata, kerana perbincangan perlu dilakukan.
“Saya juga memahami nostalgia yang ada di padang golf berkenaan, tetapi ini adalah kehendak masyarakat awam,” katanya yang menjangkakan akan ada penentangan dari pihak Istana Selangor.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Belud itu berpendapat, kewujudan taman awam itu kelak, ia bakal mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Apabila ada taman awam ini, setelah tamat waktu bekerja, rakyat boleh berehat dan berjalan di taman awam ini sementara menunggu kesesakan lalulintas.

“Sekurang-kurangnya dapat meningkatkan budaya pergi ke taman,” kata beliau lagi.

Katanya, walaupun sudah mempunyai taman awam iaitu yang terletak di Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa namun lokasi taman itu tidak sesuai untuk pejalan kaki.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers