Jerebu: Malaysia rangka undang-undang baharu

Jerebu: Malaysia rangka undang-undang baharu
Undang-Undang Rentas Sempadan itu membolehkan tindakan diambil
terhadap syarikat dari mana-mana negara yang menyebabkan jerebu.

Undang-Undang Rentas Sempadan yang sedang dirangka kerajaan membolehkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempatan dan luar yang membakar hutan di Indonesia dan menyebabkan jerebu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang itu akan membenarkan syarikat yang menyebabkan jerebu diambil tindakan walaupun syarikat tersebut tidak beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, undang-undang yang mahu digubal oleh kerajaan itu adalah berbeza dengan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 Singapura yang membolehkan negara berkenaan mengambil tindakan terhadap syarikat tempatan sahaja.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, deraf undang-undang itu masih lagi di peringkat perbincangan kementerian sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Singapura hanya mencari syarikat mereka. Bukan syarikat lain. Hanya syarikat mereka sahaja kerana undang-undang itu terpakai kepada syarikat mereka yang membakar di sana (Indonesia)

“Kalau kurang tindakan daripada negara hos, mereka boleh mengambil tindakan. Mereka tidak boleh mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia, syarikat Indonesia. Hanya Singapura sahaja,” katanya pada sidang media selepas hadir pada perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Perdana Felda pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menyeru kepada Indonesia agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menyebabkan jerebu di negara berkenaan dan negara jiran.

“Indonesia mesti buat penguatkuasan undang-undang secara tegas, terperinci dengan mengambil tindakan kepada yang bersalah termasuk orang Indonesia sendiri yang membakar hutan dan menimbulkan masalah jerebu di Malaysia,” tegasnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers