Jangan terpedaya hasutan Tun M, nasihat Bung Mokhtar

Jangan terpedaya hasutan Tun M, nasihat Bung Mokhtar
Beliau menyifatkan Tun M sebagai individu yang sudah terdesak
sehingga sanggup menghasut rakyat Sabah menolak kepimpinan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah diminta tidak terpengaruh dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya wakil rakyat negeri itu menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, usaha yang dilakukan oleh Dr Mahathir hanya lebih kepada dendam peribadi dan ia bukan semangat politik yang baik.

“Gesaan tersebut kurang rasional, Dr Mahathir harus sedar bahawa apa yang dilakukan lebih kepada isu peribadi, bukan menjurus kepada masalah politik, salah laku dan sebagainya.

“Saya gesa supaya Ahli Parlimen Sabah dari Barisan Nasional (BN) menolak cadangan Tun Mahathir, kerana tindakan itu tidak melambangkan politik yang baik,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyifatkan Dr Mahathir sebagai individu yang sudah terdesak untuk menyerang Najib, sehingga sanggup menghasut rakyat Sabah menolak kepimpinan Perdana Menteri.

“Dr Mahathir harus sedar bahawa perkara ini (undi tidak percaya) tidak pernah berlaku di negara ini.
“Malah semasa beliau menjadi Perdana Menteri, ramai orang tidak puas hati dengan beliau tetapi perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Bung menasihati Dr Mahathir supaya berhenti menyerang kepimpinan Najib kerana rakyat akan muak dan hilang keyakinan terhadapnya memandangkan era kepimpinan beliau juga sudah berakhir.

“Saya harap wakil rakyat BN dari Sabah terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan menyelesaikan masalah yang berlaku secara dalaman bagi memastikan BN kekal memerintah pada PRU akan datang,” tegasnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers