“Pilihan raya masih jauh”-Mat Sabu

“Pilihan raya masih jauh”-Mat Sabu
Dia enggan mengulas kenyataan Wan Azizah, PR tidak boleh menang tanpa Pas

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengakui parti itu masih baru dan enggan mengulas mengenai kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tanpa Pas.

Dalam jawapan ringkas berkaitan pertanyaan itu, dia berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih jauh.

“Saya tak mahu komen apa-apa. Pilihan raya masih jauh. Parti kami pun baru dua minggu lebih dan sambutan yang diberi terhadap Amanah begitu memberansangkan,” katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Dang Wangi selepas memberikan keterangan.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengulangi pendirian bahawa parti itu mengambil pendirian secara bersama untuk mewujudkan gabungan pakatan yang baru dikenali sebagai Pakatan Rakyat 2.0 (PR 2.0).

Menurutnya, parti itu akan hadir dalam rundingan sidang meja bulat PR 2.0 yang akan diadakan esok di Subang.

“Itu kena tanya Pas (berhubung Pas tidak mahu mengadakan kerjasama dengan Amanah). Kami akan hadir dalam rundingan sidang meja bulat dan soal pendirian pas itu terserahlah kepada rakan-rakan.

“Kami akan mengambil pendirian bersama dengan parti-parti yang ada. Kita tengok esok perbicangan dia macam mana,” katanya.

Terdahulu Mat Sabu memberikan keterangan kira-kira sejam lebih berhubung penyertaanya dalam Perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos yang lalu.

Dia hadir pada jam 11.15 pagi ditemani oleh dua orang peguamnya.

Mat Sabu turut mengesahkan dirinya disiasat dibawah Seksyen 4 ( 2) (C) Akta Perhimpunan Aman.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers