BERSIH 4.0 ada niat tersembunyi – Syed Ali

BERSIH 4.0 ada niat tersembunyi – Syed Ali
Ahli UMNO tidak akan menyertai perhimpunan itu kerana
membawa banyak keburukan kepada negara dan ekonomi.

Perhimpunan BERSIH 4.0 bagi menyelamatkan Malaysia dan mengukuhkan hak demokrasi berparlimen pada 29 dan 30 Ogos ini dikatakan ‘tidak bersih’ kerana pihak penganjur mempunyai agenda tersembunyi.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata demikian mengulas dakwaan pembangkang bahawa anggota akar umbi UMNO juga akan terlibat dalam perhimpunan itu.

“Jangan terpedaya provokasi pembangkang, ahli UMNO tidak terbabit dalam perhimpunan BERSIH 4.0.

“Ahli-ahli UMNO tidak akan turun menyertai mereka, perhimpunan itu tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat khususnya warga kota,” tulisnya dalam blog UMNO Bahagian Cheras.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pembangkang itu, Syed Ali melabelkan ia sebagai dakyah yang karut, tidak berasas dan berniat jahat untuk merosakkan nama baik ahli-ahli UMNO.

Katanya, seperti perhimpunan sebelum ini, perhimpunan BERSIH terpalit dengan kekotoran apabila ia menjejaskan kehidupan harian warga kota.

“Ini bukan kali pertama, malah perhimpunan BERSIH sebelum ini berakhir dengan keganasan, maki hamun pasukan polis dan merosakkan harta benda awam,” tegasnya lagi.

Kata Syed Ali, motif perhimpunan tersebut sekadar untuk memburuk-burukkan pemimpin dan menghasut rakyat supaya menjatuhkan kerajaan.

Beliau juga mempersoal keengganan pihak penganjur BERSIH mematuhi arahan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak menggunakan lapangan Dataran Merdeka.

“Jika betul untuk berhimpun secara bersih, mengapa tidak diadakan di Selangor ataupun di Pulau Pinang, sebaliknya mensasarkan sekitar ibu kota Kuala Lumpur?” tanyanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers