Anak kita dan masa depan yang kelam

Anak kita dan masa depan yang kelam
Amat sedih nanti jika anak-cucu kita dimomokkan dan
dihina dibumi sendiri kerana kesalahan kita memilih pemimpin Politikus Usang.

Oleh Yunus Tasim
Tidak ada siapa yang dapat meramalkan masa depan Malaysia. Kelihatan sangat kelam. Harga barang yang terus meningkat. Ditambah cukai GST yang meliputi semua golongan rakyat, tak kira yang mampu atau yang miskin. Skandal kewangan yang tidak ada kesudahan dan tidak ada jawapan. Ini ditambah dengan sikap pemimpin penipu dan disokong oleh pemimpin bawahan kurang cerdik yang terus membodohkan rakyat. Memang benarlah pesan orang-orang tua kita ‘Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi’.
Kita terus bertanya. Kalau begini sekarang, apa akan terjadi 10, 20 dan 30 tahun akan datang? Lihat muka anak-anak kita, kita jadi sayu. Lihat wajah cucu-cucu kita, kita hampir menangis. Dan bercampur rasa geram dan marah angkara pemimpin yang tidak amanah ini. Bagaimanakah Malaysia dan nasib cucu-cucu kita pada waktu itu?
Saya teringat lagu Anak Anak Kita ciptaan dan tulisan Dato M.Nasir 30 tahun lalu. Pemikirannya yang dicernakan dalam lagu telah memberi amaran kepada kita generasi waktu itu dan mendengarnya lagi sekali telah menyentuh hati dan fikiran saya.
Anak-anak kita kah yang berlari di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi ‘lagu Ketakutan’ hari-hari ini
Anak-anak kitakah yang memikul beban Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal ‘Budaya Canggung’ bangsa sendiri
Beliau telah membayangkan keadaan anak kita di masa depan. Apakah anak-anak kita akan menyanyikan ‘Lagu Ketakutan’ seperti yang kita alami sekarang. Masa depan yang kelam. Harga barang yang terus meningkat, tidak setimpal dengan harga duit kita dan kadar kenaikan gaji mereka. Rumah yang tidak mampu dibeli dan dimiliki. Mungkin kerana desakan inilah, kita tidak mampu lagi mengingatkan dan mengajar mereka tentang agama dan budaya kita.
Kemudian beliau memberikan sedikit punca masalah yang kita hadapi dengan lirik seterusnya.
Selamatkan anak kita dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita dari Orde Baru Politikus Usang
Jerangkap samar yang memporak-perandakan negara kita tidak lain dan tidak bukan adalah Politikus Usang yang membuat Orde Baru yang menipu dan membodohkan rakyat. Ahli Politik sebeginilah yang diibaratkan seperti Burung Pegar yang kita harapkan , tetapi dia lah yang memakan padi kita, yang menghapuskan masa depan kita.
Seterusnya Dato M.Nasir ingatkan agar kita menjaga anak-cucu kita dari menjadi hamba di negara sendiri seperti pada baris seterusnya
Jaga-jaga anak kita! Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita! Kita ini orang merdeka
Apakah nasihat beliau harus kita ikuti atau kita terus rela menjadi rakyat yang setia membuta tuli dan terus ditipu serta dibodohkan oleh Politikus Usang tersebut. Amat sedih nanti jika anak-cucu kita dimomokkan dan dihina dibumi sendiri kerana kesalahan kita memilih pemimpin Politikus Usang itu.
Panggillah mereka pulang, Ayah nak ajar tentang Kurang Ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi
Panggillah mereka pulang, Ayah nak ajar tentang Kurang Ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi
Mungkin masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk kita ajarkan anak kita tentang Kurang Ajar sebagaimana yang pernah disarankan oleh Tun Musa Hitam satu ketika dulu. Kurang Ajar bukan bermaksud sikap biadap tetapi lebih kepada berfikiran kritikal, menjadi orang berilmu dan punya semangat tinggi agar anak-anak-anak dan cucu-cucu kita tidak lagi mudah dicucuk hidung, tidak mudah ditipu, tidak mudah dibodoh-bodohkan dan yang penting tidak setia membuta tuli kepada pemimpin. Kita yakin sebagai orang Malaysia, anak-cucu kita sentiasa beradab dalam menyuarakan hak, menegur dan membetulkan yang salah serta menentukan nasib masa depan mereka.
Kemudian Dato M.Nasir mengakhiri lagu tersebut dengan mengingatkan kita untuk kita mengajar anak cucu kita akan bahaya dari manusia yang menyesat dan merosakkan iaitu golongan ahli politik, pakar motivasi, pejuang bangsa, ahli koprat, pejuang agama dan sebagainya dalam dunia yang penuh dengan penipuan dan kemunafikan.
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Tukang Karut itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Dalang Wayang itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Ahli Koporat itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Doktor Jiwa itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Pakar Kitab itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu
Apa yang dinyatakan oleh beliau amat ketara sekarang. Kalau dalam zaman 70an hingga 90an tidak berapa jelas, tapi sekarang amat terang dan nyata mungkin dengan meluasnya teknologi ICT dan penggunaan media sosial. Memang ramai manusia bertopeng politik untuk menipu rakyat; manusia bertopeng media untuk mengelirukan fakta; ahli politik dan koprat yang rakus mengaut harta rakyat dan negara atas nama pembangunan; manusia berselindung atas nama motivasi dan perubatan; Manusia menggunakan agama dan mengaku sebagai ‘tuhan’tuhan’ yang menentukan hukum hakam kepada manusia yang kemudian menjadikan mereka hamba dan pengikut yang tolol.
Apakah langkah kita ke depan untuk memerdekakan anak-cucu serta negara kita? Apakah kita akan terus menjadi pengikut setia yang tidak menggunakan otak dan daya untuk membetulkan keadaan. Jangan sampai nanti anak-cucu menyalahkan kita dan yang lebih menyedihkan mereka akan membuang najis di atas kuburan kita.
Yunus Tasim adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers