Sarawak beku permohonan pembangunan ladang baharu - Adenan

Sarawak beku permohonan pembangunan ladang baharu - Adenan


Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Nadim Bokhari

KUCHING: Kerajaan Sarawak membekukan serta-merta permohonan baharu untuk pembangunan ladang berskala besar, kecuali pembangunan ladang rakyat di atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi mengawal berlakunya kegiatan pembalakan secara haram yang sedang berluasa di negeri ini berikutan pembukaan ladang secara besar-besar di atas tanah kerajaan.

"Cukuplah apa yang sudah ada, yang sudah ada memberi masalah yang sangat besar," kata beliau kepada pemberita semasa kunjungan hormat exco Persatuan Wartawan Bahagian Kuching terhadap beliau di sini, hari ini.

Adenan sebelum ini turut mengumumkan 'perang' ke atas kegiatan pembalakan haram di Sarawak yang menurut beliau adalah masalah besar dan perlu dibendung.

Katanya, sebelum ini lebih 500 lesen pembalakan dikeluarkan kepada syarikat dan individu.

"Saya telah mengarahkan Jabatan Hutan Sarawak mengambil tindakan tegas ke atas semua kegiatan pembalakan haram dan hasilnya beberapa serbuan dan tangkapan berjaya dilakukan," katanya.

Adenan turut melahirkan rasa kesal beliau terhadap tindakan rakus pembalak yang membalak secara haram di kawasan-kawasan taman negara, sambil menyatakan tindakan berterusan akan dilaksanakan bagi menangkap mereka yang terbabit dalam kegiatan haram itu.

Katanya, Jabatan Hutan Sarawak akan dibekalkan dengan pesawat 'drone' bagi mengesan kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan negeri ini, selain penambahan bilangan kakitangan penguatkuasa dan kenderaan pacuan empat roda.

Sebelum ini Adenan mengumumkan bahawa pegawai penguatkuasa Jabatan Hutan akan dibekalkan dengan senjata api semasa melakukan kerja-kerja penguatkuasa.

"Tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan pembalakan haram ini tidak ada kaitan dengan soal politik kerana ia dilakukan untuk kepentingan ekonomi negeri dan alam sekitar," tambah beliau.

Semasa pertemuan itu, Adenan bersetuju untuk menjadi tetamu kehormat pada Malam Media Ketua Menteri Sarawak yang tarikhnya akan ditetapkan kelak.

Beliau turut bersetuju memperuntukkan sebuah bangunan kerajaan yang tidak digunakan, sebagai pejabat persatuan berkenaan. - BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers