JITRA: Bapa kepada pelajar wanita yang maut akibat dikelar seorang lelaki semalam pernah membuat laporan polis mengenai anaknya yang sering diganggu lelaki itu sejak di Tingkatan Lima.
Johari Hashim berkata, pemuda berkenaan adalah rakan sekampung anaknya dan pernah meluahkan hasrat untuk menjalin hubungan serius dengan anaknya.
Namun beliau berkata, mereka sekeluarga menghalang hasrat pemuda itu kerana dia disyaki menagih dadah.
"Anak saya hanya berkawan biasa. Tetapi dia mahu mengadakan hubungan serius. Anak saya pernah beritahu kami, lelaki itu selalu mengganggunya. Saya pernah telefon dan hantar SMS kepada dia supaya jangan ganggu anak saya.
"Saya juga pernah membuat laporan polis empat tahun lalu. Apabila dia bekerja di Melaka, saya ingatkan dia sudah berhenti ganggu anak saya kerana anak saya tidak lagi bercerita mengenainya," katanya kepada pemberita.
Anaknya Nursyuhada, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak semalam.
Johari berkata, namun selepas itu, anaknya memberitahu lelaki berkenaan masih mengganggunya.
Beliau berkata, keluarga pemuda itu mengetahui kelakuannya yang pernah bertindak ganas memecahkan pintu rumahnya di Taman Hosba di sini.
Beliau berkata, pemuda berkenaan pernah melarikan anaknya dengan kereta sebelum ini tetapi mereka sekeluarga menemuinya semula.
"Saya sangat terkejut apabila rakan kelas anak saya menghubungi isteri saya dan memberitahu anak saya akan dicederakan sekiranya anak saya tidak mahu menaiki kereta lelaki itu.
"Isteri saya cuba menghubunginya anak saya beberapa kali, tetapi panggilan telefonnya tidak dijawab. Saya juga menghubungi ibu bapa pemuda itu meminta mereka menghubungi anak mereka untuk membawa pulang anak saya," kata Johari.
Beliau berkata, bapa lelaki itu kemudian menghubungi anaknya dan memaklumkan kepada Johari anaknya sudah mengelar leher Nursyuhada.
Beliau juga kesal kerana lelaki itu dilapor memberitahu pihak polis bahawa dia melakukan perkara itu kerana mengalami sakit mental.
Johari berkata, kali terakhir beliau bertemu anaknya ialah pada awal bulan lalu ketika menghantar anaknya di perhentian bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk pulang ke kampus.
Nursyuhada yang meninggal di Hospital Kuala Kangsar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan pagi tadi.
- BERNAMA
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.