Sibuk Hasilkan Album EP, Idayu Tangguh Bulan Madu Di Tiga Lokasi

Sibuk Hasilkan Album EP, Idayu Tangguh Bulan Madu Di Tiga Lokasi

Sibuk Hasilkan Album EP, Idayu Tangguh Bulan Madu Di Tiga Lokasi


KL, 20 MEI 2014: Usia perkenalan selama 12 tahun akhirnya dimeterai dengan penyatuan dua hati iaitu finalis Akademi Fantasia 3 (AF3), Nur Farah Idayu Yaakub, 29, atau Idayu yang kini telah pun diijabkabulkan dengan jejaka pilihan, Shahrul Fadzil, 30, di kediaman mempelai perempuan di Pasir Hor, Kota Bharu, jam 10.30 pagi, 15 Mei lalu.

Bertemu ketika menjadi junior kepada suaminya Shahrul ketika menuntut dalam bidang Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kedua-dua mereka berkongsi nafas yang sama.

Dan yang paling mengujakan penyanyi yang digelar Mariah Carey Malaysia ini, haluan yang terang kini menantinya dengan bantuan suami untuk kembali menyinari persada dunia nyanyian di tanahair.

Dek kerana telah bertekad untuk tampil dengan album EP pada September ini, pasangan pengantin baru ini terpaksa menunda sebentar rencana bulan madu 3 lokasi mereka.

Ini semata-mata untuk memberi laluan kepada impian sang isteri yang pernah popular dengan lagu Kasih Yang Terpisah tersebut.

“Saya memang bersyukur akhirnya setelah sekian lama kami berjaya mempertahankan cinta kami ke jinjang pelamin dan diharapkan akan diberkati hendaknya. Buat masa ini saya memang fokus kepada perniagaan milik keluarga dalam bidang automotif .

“Tetapi setelah saya tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, saya dan Shahrul bertungkus lumus untuk menghasilkan EP terbaru khas buat peminat setia yang sekian lama tidak jemu berharap saya kembali aktif menyanyi.

“Kerana ingin mengejar waktu yang telah ditetapkan jadi saya dan suami terpaksa menunda sebentar rencana berbulan madu ke tiga buah lokasi peranginan iaitu Langkawi, Tokyo dan akhir sekali Bali.

"Tetapi tidak mengapa kerana kini saya diuruskan oleh suami merangkap pengurus peribadi saya,” tuturnya panjang lebar ketika dihubungi selepas beberapa hari bergelar isteri kepada Shahrul Fadzil.

Ketika dihubungi dia juga sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur untuk menamatkan sesi rakaman lagu bagi album terbarunya itu.

Penyanyi itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Ustaz Sabri Abdullah dengan sekali lafaz dan menerima mas kahwin beserta wang hantaran berjumlah RM15,000.

Pihak lelaki menyerahkan sembilan dulang hantaran dan turut dibalas dengan jumlah sama oleh pihak perempuan.

Mereka sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada bukan Ogos 2013.

Ditanya mengenai cahayamata, Idayu berserah kepada rezeki Allah SWT.

“Saya tidaklah terlalu merancang untuk memiliki anak dan sebagainya. Saya anggap itu adalah rezeki dan pada usia nak masuk angka lain ini kalau boleh cepat lagi baik,” seloroh penyanyi dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu mengakhiri bicara.

Sementara itu, Shahrul yang juga komposer baru berkata, mereka bakal mengadakan majlis resepsi di kampungnya di Jitra, Kedah pada 7 Jun ini diikuti sebuah lagi di ibu negara pada September ini untuk rakan-rakan dunia seni.

Turut hadir di majlis penikahan Idayu dan Shahrul adalah rakan seperjuangan AF3, Marsha Milan Londoh.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers