Nazim Othman Tak Ralat Single Pertamanya Keluar Lambat

Nazim Othman Tak Ralat Single Pertamanya Keluar Lambat

Nazim Othman Tak Ralat Single Pertamanya Keluar Lambat


KUALA LUMPUR, 20 MEI 2014: Sudah menjadi impian buat pelakon kacak, Nazim Othman untuk tampil dengan lagunya sendiri yang telahpun dirakamkan sepenuhnya.

Namun apakan daya, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukannya.

Single pertama Nazim Othman berjudul Destinasi yang berteraskan motivasi khusus buat generasi muda masih belum dilancarkan sedangkan segala persiapan sudahpun siap sepenuhnya.

Bercakap kepada portal murai.com.my, Nazim Othman berkata lagu berkenaan sudahpun siap tahun lalu dan kemudian dia menunggu untuk menyiapkan klip video lagu berkenaan dengan menggunakan duit poketnya sendiri.

“Tahun lalu jadual kerjaya saya terlalu padat dan tak ada masa langsung untuk merakamkan klip video lagu berkenaan kerana banyak perkara yang perlu difikirkan antaranya gerak langkah tarian yang saya percaya  akan menjadi daya penarik klip video ini.

“Hanya beberapa bulan lalu saya telah berjaya merakamkan klip video berkenaan dan saya sangka dapat lancarkan lagu dan klip video itu seawal yang mungkin, tetapi kerana insiden MH370 membuatkan saya membiarkannya buat seketika,” katanya.

Jelas Nazim Othman, kerana kesibukan masa dengan penggambaran kebelakangan ini, maka dia terpaksa memilih tarikh yang sesuai untuk melancarkan lagu berkenaan.

Katanya, buat masa ini waktu yang paling sesuai untuk melancarkan Destinasi ialah selepas Hari Raya iaitu selepas dia tidak terlalu terikat dengan sebarang komitmen kerja, sama ada di pentas lakonan mahupun sesi fotografi.

“Sudah tentu saya gembira dan gementar dengan maklumbalas yang bakal saya terima, tetapi saya tidak ralat melancarkannya terlalu lambat kerana saya percaya apa yang telah berlaku ada hikmahnya.

“Saya percaya, semua peminat memahami situasi saya dan saya sangat gembira kerana mereka masih menyokong kehadiran saya begitu juga dengan kebanyakan projek yang saya lakukan.

“Saya memiliki kekuatan dan kelemahan sendiri, sama juga seperti orang lain. Saya percaya saya memiliki penyokong di belakang saya kerana lagu yang saya tampilkan ini berkisar motivasi untuk mengejar cita-cita bukannya cinta,” katanya.

Tambah Nazim Othman, sekiranya Destinasi mendapat maklum balas yang baik, dia tidak teragak-agak untuk merakamkan sebuah lagi lagu khusus untuk semua peminatnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers