Lawatan Obama Tingkat Hubungan AS-Malaysia Kepada Perkongsian Komprehensif

Lawatan Obama Tingkat Hubungan AS-Malaysia Kepada Perkongsian Komprehensif

Lawatan Obama Tingkat Hubungan AS-Malaysia Kepada Perkongsian Komprehensif


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengakhiri lawatan bersejarah beliau di Malaysia Isnin, dengan pemimpin kedua-dua negara beriltizam meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif yang berobjektif memperkukuh kepentingan bersama dan nilai bersama rakyat.

Bagi menandakan fasa baharu perkongsian komprehensif itu, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh mekanisme dialog dalam bidang utama termasuk kerjasama politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan serta alam sekitar, sains, teknologi dan tenaga.

Komitmen itu diperluaskan kepada usaha meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai Kanan Malaysia-AS sebagai forum utama bagi pelaksanaan perkongsian komprehensif menerusi rundingan tetap.

Lawatan Obama ke Malaysia adalah yang pertama oleh presiden Amerika sejak lawatan Lyndon B. Johnson pada 1966.

Obama diberikan sambutan permaidani merah di Bangunan Parlimen pada Sabtu, diraikan pada jamuan negara pada Sabtu malam dan pada Ahad mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin muda Asia Tenggara.

Presiden AS itu juga melawat Masjid Negara di ibu negara Malaysia ini pada Sabtu dan bersama-sama Najib melancarkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya, bandaraya pintar yang menempatkan kira-kira 800 firma ICT dan bukan ICT, termasuk 43 perbadanan multinasional.

Malaysia merupakan hentian ketiga dalam siri lawatan Obama ke empat negara Asia, bermula di Jepun dan diikuti Korea Selatan. Presiden berlepas ke Filipina pada Isnin.

Najib berkata kehadiran Obama di Malaysia menandakan "permulaan fasa baharu perkongsian kami - dengan persahabatan dipererat dan perkongsian komprehensif."

Obama dan Najib turut memuji kemajuan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) setakat ini dan mengulangi komitmen mereka untuk menyelesaikan isu tertangguh dan memuktamadkan perjanjian peringkat tinggi secepat mungkin.

Pada mesyuarat itu, Obama dan Najib mengakui akan pentingnya keamanan dan kestabilan bagi keselamatan dan kemakmuran ekonomi bersama.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan terbaru di Laut China Selatan dan sedar kepentingan melindungi keselamatan maritim dan memastikan kebebasan navigasi dan penerbangan di rantau itu, termasuk laluan kritikal di Laut China Selatan.

Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf pentingnya menyelesaikan semua pertikaian wilayah dan maritim oleh semua pihak terlibat secara aman, termasuk timbang tara antarabangsa mengikut prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Laut.

Obama juga menyambut baik komitmen Malaysia untuk memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran dengan menyertai Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) di bawah Pernyataan Prinsip Perintah Larangan.

Mengenai Malaysia akan memegang jawatan pengerusi Asean pada 2015, Obama menyatakan keyakinan bahawa di bawah pimpinan Malaysia, hasrat perkumpulan serantau itu untuk meningkatkan intergrasi ekonomi mampu direalisasikan.

Presiden AS itu juga memuji peranan Malaysia mengusahakan proses damai di selatan Filipina yang membawa kepada pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro baru-baru ini.

Sebagai mencerminkan hasrat Obama dan Najib untuk meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat yang pertama kali dibincangkan pada 2010, kedua-dua pemimpin yang gembira dengan kejayaan Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright, memutuskan program itu dilanjutkan tiga tahun lagi.

Najib dalam pada itu turut berterima kasih kepada Obama yang bersetuju untuk menimbangkan penyertaan Malaysia dalam Program Pengecualian Visa, membolehkan warganegara negara yang menyertai program itu memasuki AS tanpa visa selama 90 hari atau kurang.

Sebagai langkah pertama, AS komited untuk menyediakan taklimat teknikal tentang syarat keselamatan dan perjanjian perkongsian maklumat pada tahun ini.

Kini terdapat 37 negara menyertai program itu termasuk Brunei Darussalam, Singapura, Taiwan dan Jepun.

Pada sidang akhbar bersama pada Ahad, Najib turut menyatakan penghargaan kepada AS atas sokongan berterusan diberikan dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang manakala Obama berjanji akan menghulurkan segala bantuan yang termampu bagi misi itu.

Mengakui operasi itu berdepan cabaran besar, Obama berkata pihak berkuasa Malaysia telah berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk mencari pesawat itu.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak negara lain di rantau ini tetapi saya boleh nyatakan bahawa AS dan rakan-rakan yang lain mendapati kerajaan Malaysia memerlukan bantuan, dan telah memberikan kerjasama penuh dari segi maklumat yang mereka ada," katanya.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'.

Operasi mencari sedang giat dilakukan di selatan Lautan Hindi.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers