Mampukah MCA Raih Sokongan Pengundi Cina

Mampukah MCA Raih Sokongan Pengundi Cina
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai
bersama barisan kepimpinan parti

Mampukah MCA Raih Sokongan Pengundi Cina

Fokus Berita Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Barisan Nasional (BN), khususnya MCA, sekali lagi menggalas tugas berat dalam usaha meyakinkan pengundi, khususnya kaum Cina, untuk berpihak kepada parti itu dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei depan.

Mengikut agihan kerusi di dalam BN, kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik MCA, menjadikan ini pembabitan kedua MCA dalam pilihan raya kecil selepas yang pertama dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor pada 23 Mac lepas.

Semasa pilihan raya kecil Kajang, MCA di bawah pimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai terpaksa bekerja keras dalam usahanya mendapatkan pengundi Cina yang berjumlah 15,823 orang atau 40 peratus mengalih sokongan mereka kepada BN.

Hasilnya, MCA memperoleh peningkatan sebanyak tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) iaitu sekitar 18 peratus.

Melihat pilihan raya kecil kali ini adalah kerusi Parlimen, sudah tentu tugas MCA selaku parti komponen kedua terbesar BN, semakin berat kerana bakal berhadapan dengan saiz pengundi Cina yang bilangannya tiga kali ganda lagi besar daripada DUN Kajang.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gelugor, yang mempunyai 61,112 pengundi Cina atau 74.49 peratus, diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam satu kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Karpal Singh, bekas pengerusi DAP, meraih majoriti 42,706 undi, ketiga tertinggi selepas Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP yang memperoleh 51,552 majoriti undi dan Anggota Parlimen Bukit Mertajam Sim Chee Keong, juga dari DAP, sebanyak 43,063 majoriti undi.

Di atas kertas, ramai pihak meramalkan bahawa BN-MCA sukar mendapat sokongan pengundi Bukit Gelugor khususnya masyarakat Cina berdasarkan sentimen PRU13.

Biar pun tersungkur di Kajang, formula mengurangkan majoriti pihak lawan sebanyak 14.4 peratus seharusnya dijadikan panduan untuk memperkasakan gerak kerja dan strategi parti bagi meraih seberapa banyak sokongan pengundi.

Menyedari Parlimen Bukit Gelugor merupakan kubu kuat DAP, timbul persoalan, mampukah MCA 'mencuri' sedikit undi daripada jumlah keseluruhan pengundi Cina di kawasan Parlimen itu?

Penganalisis politik meramalkan bahawa majoriti 42,706 undi yang diperoleh Karpal Singh ketika PRU13 berkemungkinan kekal berdasarkan sentimen semasa di kawasan itu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata BN sama ada menerusi MCA atau pun Gerakan akan mempunyai laluan berliku memandangkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik tokoh besar DAP.

"Tambahan pula kerajaan negerinya adalah pimpinan DAP dan sentimen pemergian Karpal Singh sangat terkesan di hati pengundi selain ia adalah kubu kuat DAP," katanya kepada Bernama di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng berkata keyakinan tinggi akan menjadi faktor yang mampu mendorong parti itu berusaha keras untuk meraih sokongan pengundi.

"Kalau kita bertanding, laluannya sukar. Bagaimanapun kita ada keyakinan. Keyakinan itu penting untuk kita cuba kurangkan majoriti lawan," katanya kepada Bernama.

Pun begitu, MCA yang kini giat mengadakan transformasi parti diingatkan supaya tidak menjadikan pilihan raya kecil ini medan untuk menguji pengaruh sebaliknya platform mempamerkan kesediaan dan iltizam kuat untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya fikir BN tidak boleh memberi kemenangan mudah kepada DAP dan saya yakin BN akan beri tentangan dan bertanding sebagai 'underdog' (bukan pilihan). Ini bukanlah masa yang sesuai untuk MCA menguji pengaruh mereka," kata Mohamed Mustafa.

Beliau berkata sentimen ketika pilihan raya kecil Kajang amat berlainan daripada sentimen di Bukit Gelugor.

"Di Kajang, wakil rakyat letak jawatan, jadi ia lain sekali manakala di Bukit Gelugor, ia melibatkan kematian wakil rakyat. Pulau Pinang bukan tapak yang kuat untuk MCA berbanding Gerakan. Jadi tak sesuai untuk ukur kemampuan," katanya.

Selepas dilanda prestasi buruk pada PRU13, MCA kini berdepan dengan perang persepsi di kalangan rakyat khususnya masyarakat Cina yang masih meragui sama ada parti yang kini dibarisi kepimpinan baharu telah pulih daripada segala masalah dalaman.

Mohamed Mustafa berpendapat masyarakat Cina khususnya di Parlimen Bukit Gelugor sukar untuk memberikan undi kepada MCA ditambah dengan sentimen politik negeri yang memihak kepada DAP.

"Dalam sejarah Bukit Gelugor, MCA tidak ada pengaruh yang kuat. Pengundi akan memberikan undi kepada DAP kerana faktor simpati dan faktor mengenang budi Karpal Singh," katanya.

Namun bagi Tan, walau apapun keadaan, MCA bersedia menggalas cabaran berat itu dan menambah kata bahawa parti itu sudah membuat persiapan menghadapinya.

Selain 61,112 pengundi Cina atau 74.49 peratus, kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai 14.48 peratus atau 11,880 orang pengundi Melayu, 8,660 atau 10.56 pengundi India dan 0.48 peratus atau 390 lain-lain kaum.



-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers