Forum Palestin Tarik Minat 400 Peserta

Forum Palestin Tarik Minat 400 Peserta
Gambar Sekadar Hiasan

Forum Palestin Tarik Minat 400 Peserta
- Daripada Nor Faridah Abd Rashid

ISTANBUL (Bernama) -- Menganjurkan forum untuk media adalah sesuatu perkara yang biasa, namun bagi Forum Antarabangsa Palestin untuk Media dan Komunikasi, ia dianggap unik kerana berjaya menarik kira-kira 400 peserta dari dunia Islam dan negara lain untuk berkumpul di bawah satu bumbung dan merungkai isu-isu mengenai laporan perjuangan rakyat Palestin.

Peserta bukan sahaja didedahkan dengan ceramah, bengkel dan seminar tetapi juga sesi latihan untuk membolehkan mereka lebih bersedia dengan media baharu dan bagaimana mengendalikan dengan lebih berkesan demi memastikan penggunaan dan pengaruh yang maksimum dalam menangkis laporan media barat, yang disifatkan penceramah, tidak melaporkan kebenaran tentang perjuangan rakyat Palestin.

Forum dua hari yang berakhir di sini Jumaat, membuka peluang untuk mengadakan dialog yang bermanfaat, penilaian objektif dan kritikan membina mengenai pelbagai pengalaman media yang membantu memperbaiki dan membimbing prestasi media berkaitan Palestin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Fayed Abu Shammala ia mengambil masa yang lama untuk menyediakan acara itu dari segi membina data dan cubaan untuk mendapatkan semua peserta serta pertubuhan dan tokoh-tokoh media untuk bercakap mengenai isu Palestin, namun ia adalah berbaloi.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa isu lain rantau ini, mesej mengenai perjuangan Palestin tidak dapat "disampaikan", dengan menyatakan bahawa media antarabangsa berpuas hati dengan apa yang berlaku dan tidak melakukan secukupnya untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat antarabangsa.

"Kita perlu membina rangkaian ini untuk memulakan secepat mungkin. Mesej rakyat Palestin berada di bawah sekatan antarabangsa dan orang ramai tidak tahu apa yang sedang berlaku, terdapat kematian, kebuluran di Palestin. Palestin dikepung untuk bertahun-tahun lamanya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata forum itu menyediakan platform kepada peserta untuk berkomunikasi dan membina hubungan antara media atau pertukaran idea bagi meningkatkan profesion dan organisasi mereka.

"Tetapi apa yang paling penting adalah para peserta perlu berkomunikasi walaupun selepas berakhirnya forum. Mereka harus mengikuti dan melakukan dengan terbaik untuk membina hubungan peribadi atau dua hala," katanya.

Mengenai pemilihan Istanbul sebagai lokasi forum itu, beliau berkata ini kerana Istanbul adalah tempat yang mudah untuk diakses bagi kebanyakan peserta.

"Ia adalah tempat yang baik untuk permulaan forum ini kerana kami mahu ramai orang mengambil bahagian sama ada dari barat dan juga timur. Kami mahu peserta dari dunia Arab, Eropah dan Amerika. Kami tidak mahu hanya peserta dari satu tempat yang datang," katanya.

"Kami percaya bahawa Palestin adalah isu untuk perpaduan, terutama di negara Arab dan Dunia Islam. Kami berharap dengan membawa masuk ramai orang luar, ia akan membantu kami mendapat akses kepada masyarakat antarabangsa, memberitahu mereka mengenai ketidakadilan di Palestin," katanya.

Abu Shammala turut berharap agar forum itu yang dianjurkan Kelab Media Palestin, asas bagi penyelidikan politik, ekonomi dan sosial; dan Middle East Monitor (MEMO) pertubuhan yang memberi liputan yang fokus dan komprehensif mengenai Palestin dan negara jiran serantau, boleh diadakan setiap tahun.

Peserta dan penceramah berasal dari pelbagai negara seperti Mesir, Palestin, Amerika Syarikat, United Kingdom, Turki, Jordan, Perancis dan Malaysia manakala tajuk yang dibentangkan termasuk "The Palestinian Cause in the Western Media; Working Towards a New Palestinian Strategy and Investigative Journalism.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers