Tangisan Pasir Salak - Bila lagi mahu tayang?
NAMA, Jamal Lulkhir Jaludin, mungkin agak kurang dikenali dalam arena pengarahan televisyen mahupun layar perak.
Jamal yang juga pemilik syarikat produksi, Kay Broadcasting (M) Sdn Bhd, ini lebih sinonim dalam penghasilan dan pengarahan iklan.
Tampil mencabar diri dalam penghasilan dokumentari sejarah, Tangisan Pasir Salak, merupakan naskhah pertamanya.
Walaupun ia adalah cubaan pertama, dokumentari sejarah berdurasi 23 minit itu berjaya membawa kita dalam memahami penderitaan yang pernah dialami rakyat di daerah Pasir Salak, ketika zaman sebelum merdeka.
Menerusi majlis pratonton yang diadakan pada Jumaat lalu, bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya, dokumentari itu ditayangkan secara eksklusif kepada media yang terpilih.
Dalam pada itu, Jamal juga turut berkongsi pengalaman dan beberapa perkara mengenai naskhahnya itu.
Selain kru produksi yang terlibat, majlis itu turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Ikuti temu bual yang disusun bersama Zass.
Memandangkan ianya adalah naskhah pertama, adakah anda berpuas hati dengan penghasilan dokumentari ini?
Sejujurnya, saya berpuas hati dengan penghasilan dokumentari ini. Walaupun ianya bukanlah sesuatu yang mudah, namun penat lelah saya berbaloi setelah melihat karya ini yang turut dibantu beberapa rakan-rakan terdekat.
Boleh anda ceritakan sedikit mengenai karya ini?
Sebelum ini, saya tidak pernah terdetik untuk menghasilkan dokumentari sehinggalah beberapa rakan mencadangkan agar saya membongkar kisah-kisah yang kebanyakan generasi kini tidak tahu. Sebagai anak jati Pasir Salak, saya terpanggil untuk menghasilkannya. Ianya adalah kisah zaman penjajahan James WW Birch, yang turut mengorbankan tiga pahlawan Pasir Salak termasuk Datuk Maharajalela.
Dokumentari ini diterbitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak.
Bagaimana pula dengan kos keseluruhan?
Memandangkan penghasilan dokumentari turut melibatkan kos yang tinggi, saya turut mendapatkan bantuan dana daripada Finas, sebanyak RM100,000 dan beberapa individu serta badan korporat lain. Ianya menelan kos hampir RM250,000 dan saya perlu menggunakan duit sendiri sebanyak RM50,000 untuk menampung jumlah yang ada.
Berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkan dokumentari ini?
Saya mula membuat kajian pada 2010. Bermula tarikh itu, saya banyak menggunakan masa yang ada untuk mengkaji sejarah daerah ini serta mencari waris-waris yang ada. Pada mulanya, saya terfikir waris itu hanya berada di sekitar Perak sahaja, namun apa yang saya dapati, mereka turut berada di Johor dan negeri lain. Hampir dua tahun saya membuat kaji selidik dan pada 2012, barulah saya menjalani penggambaran. Selama dua minggu penggambaran, saya menyerahkan karya ini kepada Finas pada Jun lalu.
Bilakah dokumentari ini akan ditayangkan?
Saya tidak dimaklumkan mengenai tarikh tayangan kerana ianya bergantung kepada Finas. Namun, setelah menyerahkan karya ini pada Jun lalu, saya berharap agar Finas menayangkannya pada sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu. Namun, sehingga kini, ianya masih ‘diperam’ tanpa saya ketahui sebabnya. Sebenarnya, segala urusan mengenai dokumentari ini dilakukan ketika pimpinan bekas Ketua Pengarah Finas, Mohd Naguib Razak. Namun, setelah pertukaran jawatan ini berlaku, saya sendiri tidak tahu apa status dokumentari ini.
Bagaimana sekiranya dokumentari ini tidak akan ditayangkan dalam waktu terdekat?
Saya tiada hak untuk berbuat apa-apa kerana karya itu diserahkan kepada Finas dan hanya badan kerajaan ini yang berhak menentukan tayangannya. Mungkin karya lain lebih hebat daripada karya saya. Namun, saya agak kecewa sekiranya Finas memilih untuk ‘peram’ sahaja karya itu kerana ia sangat bermakna buat saya. Saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Jadi, segala penat lelah saya tidak terbalas sekiranya dokumentari ini sekadar di pandang sepi dan hanya mengisi arkib Finas sahaja.
Melihat pada waktu durasi yang singkat (23 minit) ,mungkinkah ia turut mempengaruhi keputusan Finas untuk tidak menayangkannya?
Sebenarnya, saya boleh menghasilkan dokumentari ini ke durasi 45 minit atau sejam. Banyak maklumat dan kaji selidik yang saya buat untuk menghasilkan karya yang terbaik. Namun, ketika perbincangan bersama Finas, mereka hanya mahukan durasi ini 23 minit sahaja. Saya memang terkilan dan kurang berpuas hati dengan keputusan itu dan saya terpaksa membuang banyak babak yang penting.
Akhir sekali, apakah harapan anda untuk dokumentari ini?
Saya berharap agar Finas memahami situasi saya dan cuba untuk menayangkannya. Saya menghormati Finas dan pimpinan baru mungkin berhadapan dengan kesukaran untuk memenuhi tuntutan pimpinan terdahulu. Menghasilkan dokumentari sejarah bukanlah sesuatu yang mudah dan saya berharap agar usaha ini mendapat sokongan daripada badan kerajaan.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.