Rabecca Nur Al-Islam menang kes saman

Rabecca Nur Al-Islam menang kes saman
Rabecca Nur Al-Islam

Rabecca Nur Al-Islam menang kes saman


“SYUKUR, Alhamdulillah, Allah SWT sentiasa bersama dengan hambanya yang benar,” begitulah luahan Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 27, yang menang kes saman pengarah dan penerbit Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Eirma Fatima, Jumaat lalu.

Sebelum ini, Rabecca memfailkan saman di mahkamah majistret sivil dua tahun lalu, di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, melalui syarikat guaman Azam, Idzham, Azman & Partners.

Saman itu difailkan kepada syarikat produksi itu kerana gagal melunaskan baki 40 peratus bayaran lakonannya untuk drama berjudul Dejavu di Kinabalu yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, tahun lalu.

Ibu kepada lima anak ini berkata, dia dinasihatkan peguamnya, iaitu Nordin, Mohd Hisham dan Nor Baiti supaya tidak perlu takut untuk menuntut hak.

Katanya, sebelum mengambil keputusan untuk saman Eirma, dia meminta untuk bersemuka dengan pengarah itu. Namun, selepas beberapa kali permintaannya tidak diendah, dia nekad untuk meneruskan saman.

“Sebelum ini, saya telah menghubungi Eirma, tapi dia buat tak tahu. Lepas itu saya terus keluarkan ‘letter of demand’, itu pun dia masih buat tak endah," katanya.

Menurut aktres kelahiran Johor ini, dia teruskan niat tersebut kerana merasakan ia adalah satu penganiayaan yang tidak dapat diterima, memandangkan dia berusaha keras menjayakan drama bagi produksi itu.

“Rugilah saya kalau hasil penat lelah tak dibayar, itu hak saya. Nasib baik saya tak buat saman malu dan hanya tuntut hak sendiri saja mengikut kontrak yang dijanjikan sebelum ini,” katanya terkilan dengan sikap Eirma yang tidak menjaga kebajikan artis sekali gus menidakkan hak mereka.

Menurut Rabecca, dia sangat bersyukur apabila tuntutan kesnya diterima pihak mahkamah sekali gus menolak tuntutan Erma ke atasnya.

“Eirma ada membuat tuntutan kes ke atas saya yang dikatakan tidak berdisiplin dan sangat cerewet dalam segala hal, namun mahkamah menolak tuntutannya. Akhirnya keputusan keluar, dan saya menang!,” katanya yang didakwa Eirma sebagai artis yang merugikan ribuan ringgit kos pihak produksi itu.

Dalam pada itu, Rabecca turut mengambil kesempatan berterima kasih kepada peguam-peguam yang mengendalikan kesnya, dan keluarga, rakan serta saksinya, Azahari, Farra Nur Hidayah dan Fariz yang telah menyokongnya selama ini.

Katanya, tanpa mereka semua, mungkin dia tidak dapat menang untuk kes ini.

Bawa anak bercuti

Berbicara mengenai perkembangan seninya, Rabecca yang kini baru habis tempoh berpantang selepas melahirkan anak keduanya berkata, dia bercadang untuk kembali bekerja pada tahun hadapan.

Menurut Rebecca, memandangkan kedua anaknya, Nor Anggun Rivera, 1, dan Noor Anggerik Renesmee, 50 hari, masih kecil, dia memilih untuk berehat dan membawa kesemua anak-anaknya, Nor Arif Qayyum, 17, Nor Khayrin Sofea, 11, dan Nor Adam Daniel, 5, bercuti sebelum bekerja.

“Alhamdulillah, walaupun sudah dua tahun menyepi dalam dunia hiburan tanah air, namun saya akan teruskan karier dalam dunia lakonan yang saya cintai.

"Sepanjang dua tahun ini saya berehat dan memberikan sepenuh perhatian khususnya dalam menjaga anak. Bagi saya inilah masanya untuk saya mencorakkan anak-anak supaya mereka sentiasa dekat dengan saya,” katanya yang terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan kerana mendapat dua anak dalam jangka masa singkat.

Dalam pada itu, Rabecca amat bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat memahami sekali gus mendapat sokongan penuh daripada suaminya.

Menurut pelakon drama, Jangan Tegur Lagi, ini, suami sentiasa memberi kepercayaan penuh terhadapnya.

“Suami saya tidak kisah saya berlakon dan dia tahu saya jenis yang hati-hati dalam memilih tawaran serta tidak melanggar batasan.

“Saya sendiri sedar yang saya sudah berkeluarga dan sekiranya mendapat tawaran untuk melakonkan adegan yang kurang bersesuaian, saya akan menolak,” katanya.

Urus perniagaan

Dalam perkembangan lain, Rebecca turut berkongsi aktivitinya dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan syarikat perunding perkahwinan, Bacca n Dahlia Bridal, di Kelantan.

Menurut Rebecca, sambutan yang diterima amat membanggakan dan dia bercadang untuk membuka cawangan lain di ibu kota.

"Alhamdulillah, setakat ini, ramai yang berminat dan ingin membuat tempahan pelamin.

“Saya terharu dengan sambutan dari rakan-rakan saya. Semasa majlis cukur jambul anak saya, saya gunakan barang-barang kepunyaan bridal sendiri.

“Ia telah membuatkan mereka teruja untuk menempahnya,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers