Shout! Award hilang magis?
PENGANJURAN majlis anugerah untuk menghargai para karyawan di dalam industri seni bukanlah perkara baru yang terjadi dalam industri hiburan.
Begitu juga dengan majlis yang melibatkan undian daripada peminat seperti Anugerah Bintang Popular dan Shout! Awards.
Namun memasuki empat tahun usia penganjurannya, namun acara Shout! Awards masih kurang terasa hangatnya.
Jika dilihat sejak tahun lalu lagi, ramai selebriti yang sepatutnya menerima anugerah tidak hadir dan hanya diwakili oleh wakil mereka sahaja.
Ia membuatkan seolah-olah mereka tidak menghargai anugerah yang diberikan, apatah lagi undian dilakukan oleh peminat selebriti tersebut.
Selain itu, tidak ramai selebriti terkenal yang hadir pada malam itu, dan selebriti terkenal boleh di bilang kehadirannya.
Bahkan, ada di antara selebriti yang hadir pada malam itu dilihat pulang awal dan meninggalkan kerusi mereka ketika siaran langsung berjalan.
Bagaimanapun, kekurangan itu digantikan dengan persembahan bertenaga seperti persembahan pembukaan daripada Paladin, Daniel V, Vince Chong dan Mr. Fluff yang menggegarkan Stadium Putra Bukit Jalil.
Di tambah pula dengan penataan set dan pentas bagi Shout! Awards 2013 ini adalah sangat menarik dan lain daripada yang lain. Penataan lampu LED yang dipaparkan sangat realistik dan kena dengan mood ‘cyber eco’ yang merupakan tema bagi Shout! Awards tahun ini.
Tidak hanya persembahan pembukaan, penerima anugerah The Ultimate Shout! Award iaitu anugerah kemuncak pada malam itu, Joe Flizzow turut memberikan persembahan bertenaga dengan menyampaikan lagu Baek dan Havoc bersama Altimet&SanaOne.
Gimik letupan yang berlaku sebanyak dua kali semasa persembahan Joe benar-benar mengejutkan penonton di dalam stadium yang menyangka ada letupan sebenar yang berlaku.
Selain itu, Reshmonu turut memberikan satu persembahan yang tidak akan dilupakan oleh penonton apabila turun dari bumbung sebelum meneruskan persembahan dengan muzik dan tarian yang bertenaga menerusi lagu Live For The Lights.
Biarpun rata-rata penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu bukanlah artis 'mainstream' namun mereka masih mendapat sorakan dan jeritan daripada penonton setiap kali keluar membuat persembahan.
Tentunya, persembahan kemuncak daripada bekas anggota Westlife, Shane Filan yang menyampaikan lagu solo barunya, Everything To Me dan About You mendapat sorakan yang paling kuat.
Khairy Jamaluddin pecah tradisi
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memecah tradisi apabila menjadi menteri pertama memenangi anugerah dalam penganjuran industri seni.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia meraih anugerah yang mengiktiraf bakat kreatif melalui media sosial menerusi medium Twitter, Instagram ataupun Facebook.
Beliau mengalahkan nama besar dalam industri seperti Aaron Aziz, Yuna, Sofea Jane dan Adibah Noor dan membawa pulang anugerah Wired Celebritiy Award.
“Saya terharu dengan kemenangan ini kerana kebiasaannya melihat acara ini hanya di televisyen,” katanya yang ditemui sejurus selepas menerima anugerah tersebut.
Ternyata beliau bukan sahaja mempunyai peminat di luar bahkan rata-rata media yang hadir pada malam itu teruja untuk bertemu dengan beliau.
Zizan, Hafiz bolot 2 anugerah
Dalam pada itu, Hafiz buat pertama kalinya membolot dua anugerah menerusi kategori Popstar Award sekali gus mengetepikan penyanyi hebat lain seperti Aizat Amdan Yuna, Jaclyn Victor, kumpulan Kyoto Protocol dan Noh Salleh dan turut membawa pulang trofi vokal terbaik menerusi Power Vocal Award.
Hafiz berkata, dia bersyukur kerana menerima anugerah untuk Shout! Award setelah beberapa kali dicalonkan.
"Ketika diumumkan anugerah pertama, saya berada di majlis lain dan selepas selesai saya terus segera ke sini dan tidak sangka baru sahaja sampai, nama saya diumumkan sebagai pemenang Power Vocal Award.
"Terima kasih kepada peminat yang mengundi dan keluarga yang sentiasa menyokong saya. Saya sejujurnya tak sangka akan menang kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri," katanya.
Ratu Hip Hop kesayangan ramai, Mizz Nina pula berjaya mengekalkan kemenangannya buat kali kedua dalam kategori Flava Award. Mizz Nina yang baru tampil dengan imej berhijab, memenangi trofi tersebut menerusi lagu ‘Around The World’ feat. Jay Park.
Sementara kumpulan legenda KRU membawa pulang anugerah Video Muzik Terbaik menerusi lagu ‘Semalam Tanpamu’ feat. Stacy.
Zizan dan Johan pula terus menjadi pilihan dan memenangi Best On Screen Chemistry Award menerusi program ‘Raja Lawak 7’ dan Zizan sekali lagi naik ke pentas menerusi Favourite TV Personality Award buat kali ketiga.
Lucunya, Zizan yang menyampaikan ucapan dengan 'broken english' menerima sorakan dan tepukan gemuruh bukan sahaja daripada peminat, bahkan selebriti lain.
Zizan pula dalam nada bergurau kepada media berkata, dia dan Johan tidak menggunakan bomoh untuk memenangi anugerah tersebut dan bersyukur kerana dipilih sekali lagi untuk memenangi anugerah itu.
Manakala filem Kil, mengejutkan ramai apabila memenangi kategori Breakthrough Local Feature Award dan mengalahkan filem lain seperti Juvana, Istanbul Aku Datang, Langgar, Hantu Kak Limah 2 dan Lawak Ke Der?
Penerbit Grand Brillance, Tengku Iesta Tengku Alauddin berkata, mereka sememangnya tidak menjangka akan memenangi anugerah ini apatah lagi Kil tidak mendapat kutipan box office.
"Kami datang untuk memeriahkan majlis dan tak sangka menang anugerah ini. Mungkin Kil ada kelebihan tersendiri yang telah berjaya memikat hati peminat," katanya.
Kumpulan Bunkface meraih perhatian apabila kekal menguasai anugerah bintang rock atau Rockstar Award pada malam itu, sekali gus ini merupakan kemenangan untuk kali keempat yang mana mereka pernah membawa pulang trofi anugerah ini pada 2009 dan 2010 dan 2012.
Anugerah Hot Guy nampaknya tidak bertukar milik apabila sekali lagi menjadi milik pelakon Aaron Aziz. Bagaimanapun gelaran Hot Chick yang dimenangi Nora Danish pada anugerah lalu telah diserahkan kepada aktres Nur Fazura.
Sementara ‘penyebar’ media sosial yang kian menjadi sebutan di kalangan ‘kaki’ Youtube, Matluthfi90 sekali lagi memenangi trofi Shout! Aloud Award.
CORAT-CORET
1. Stadium Putra Bukit Jalil tidak dipenuhi penonton seperti ketika penganjuran pertama Shout! Award pada 2010.
2. Tidak ramai selebriti popular yang hadir pada malam tersebut.
3. Sama ada tarikh tidak sesuai atau pertembungan beberapa majlis membuatkan Shout! Award kali ini kurang meriah.
4. Suasana di dalam bilik sidang media agak kelam-kabut apabila TV yang disediakan tidak mempunyai audio.
5. Selain itu, litar pintas yang berlaku buat seketika di dalam bilik sidang media semasa acara sedang berlangsung membuatkan media tertanya-tanya siapa yang menang.
6. Ada di antara media tidak mendapat kerjasama penuh dari wakil 8TV membuatkan siri temu bual dan sesi fotografi tidak dapat berjalan dengan lancar kerana kebanyakan artis yang ditemu bual sejurus menerima trofi dikehendaki pulang segera ke tempat duduk masing-masing.
7. Ramai wakil media kecewa apabila tidak dapat menemu bual Khairy Jamaluddin dan hanya pihak 8TV yang dapat berbuat sedemikian.
8. Sesi karpet merah tidak dapat dilakukan mengikut perancangan dan terpaksa beralih ke sebelah dalam kerana hujan. Ini menyebabkan sesi tersebut agak kelam kabut.
Berikut senarai penuh pemenang Shout! Awards 2013 :
Ultimate Shout! Award
Joe Flizzow
MUZIK
1. Popstar Award
Hafiz Suip
2. Flava Award
Mizz Nina (feat. Jay Park)
3. Rockstar Award
Bunkface
4. Power Vocal Award
Hafiz Suip
5. Music Video Award
KRU (feat. Stacy) ‘Semalam Tanpamu’
6. Break-Out Award (Best New Act)
Jay Walia
TV/FILEM
7. Best On-Screen Chemistry Award
Zizan Razak & Johan (Raja Lawak 7)
8. Fresh TV Series Awards
Sebenarnya Saya Isteri Dia (TV3)
9. Breakthrough Local Feature Award
Filem Kil
10. Favourite TV Program Award
Versus 2 (TV9)
11. Favourite TV Personality Award
Zizan Razak (Melodi)
RADIO
12. Coolest Radio Announcer Award
Fara Fauzana (Hot FM)
13. Favourite Radio Show Award
Johara Pagi Era (Era FM)
WORKS
14. Hot Chick Award
Nur Fazura
15. Hot Guy Award
Aaron Aziz
SOSIAL MEDIA
16. Wired Celebrity Award
Khairy Jamaluddin (@Khairykj)
17. Shout! Aloud Award
Matluthfi90
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.