Yuna |
Sisi Kematangan Yuna
LUPAKAN seketika kisah peribadinya, Yuna kini baharu sahaja melancarkan album Inggeris terbaharunya, Nocturnal di tanah air pada 8 November lalu setelah melancarkannya di Los Angeles pada 29 Oktober lalu.
Tambahnya, album baharunya itu menonjolkan sisi kematangannya dalam penyampaian muziknya.
“Nocturnal menunjukkan sisi kematangan saya bagi setiap lagu yang dibawakan. Rasa macam diri saya seorang yang berbeza pada album sebelum ini.
“Ini mungkin adalah kerana saya mendalami pelbagai muzik di Amerika Syarikat (AS) membuatkan pengetahuan muzik saya juga meluas,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, disebabkan gabungan pelbagai elemen muzik ke dalamnya menyebabkan dia sukar mengklasifikasikannya sebagai genre apa.
Menceritakan dengan lebih lanjut tentang album baharunya itu, dia berkata, kali ini dia tidak berdepan dengan cabaran yang besar sepanjang menjalani proses rakaman kerana jadual seninya tidak terlalu padat.
“Saya cukup selesa sepanjang proses rakaman dijalankan. Berbanding dengan album terdahulu, saya cukup sibuk dengan persembahan jelajah tetapi kali ini saya lebih santai,” katanya yang hanya mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan album tersebut.
Malah, katanya lagi, kesemua lagu yang terhasil adalah inspirasinya sepanjang perjalanannya ketika menjayakan konsert jelajah di beberapa bandar di AS, tahun lalu.
Nocturnal yang membawa konsep pop organik, R&B Soul dan akustik memuatkan 14 lagu seperti Falling, Mountains, Rescue, Lights And Camera, Lovely Intermission, Someone Who Can, I Want You Back, Come Back, Colors, I Wanna Go dan Escape.
Yuna yang juga seorang penulis lirik dan komposer turut menyumbang kreativitinya dalam album itu selain mendapat sentuhan daripada ramai penerbit terkenal di AS.
Pada masa sama, pelantun Gelora Jiwa itu turut melancarkan single pertama dari album berkenaan berjudul Falling yang diterbitkan oleh komposer, Robin Hannibal.
“Single ini turut diselitkan elemen muzik ala Melayu Tradisional,” jelasnya.
Selesa di AS
Yuna berkata, sebagai rangka promosi album, pelantun Penakut itu juga bakal mengadakan konsert jelajah di sekitar benua AS selain akan muncul dalam program bual bicara popular AS, Jimmy Kimmel pada Januari tahun depan.
“Saya berharap agar Nocturnal akan menembusi pasaran Eropah seterusnya membuka peluang untuk saya mengadakan persembahan di sana.
“Selain tanah air, saya turut mengimpikan untuk membuat persembahan di negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Jepun jika berkesempatan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Yuna lagi, Nocturnal juga menandakan ‘keselesaannya’ bekerja di AS kerana album baharunya itu memberi input muzik yang berbeza berbanding hasil karyanya sebelum ini.
Malah, Yuna kini berada di bawah syarikat rakaman milik komposer David Foster iaitu Verve Records, mengakui semakin serasi bekerja di AS sebagai usaha mengembangkan karier seni muziknya sejak menetap di negara itu pada 2012.
Menurutnya, keserasian itu wujud memandangkan dia selalu bekerjasama dengan penggiat muzik di sana yang penuh dengan inspirasi karya baharu.
“Bekerja di AS sangat menyeronokkan terutamanya apabila berada dalam lingkungan penggiat muzik yang tidak henti-henti berkarya.
“Sudah tentu saya seronok berada dalam industri muzik Malaysia tetapi AS mempunyai inspirasi muzik yang luas dan pelbagai, terlalu ramai pemuzik berbakat yang saya ingin bekerjasama.
“Keadaan itu membuatkan saya rasa lebih selesa dan aktiviti harian saya hanya berfokus sepenuhnya pada muzik,” katanya.
Cipta runut bunyi filem
Pelantun Gadis Semasa ini turut berbangga apabila AS sedia memberi pengiktirafan kepadanya apabila majalah Rolling Stone menggelarnya ‘Bintang Yang Bakal Menyinar’ selain The New York Times menyifatkan karyanya sangat segar sekali gus memberi pembaharuan kepada landskap muzik di negara itu.
Dalam perkembangan lain, Yuna memberitahu, dia ada mencipta dua lagu untuk runut bunyi filem Lagenda Budak Setan 3 kelak.
“Judulnya saya tak boleh nak beritahu lagi. Tapi kedua-kedua lagu itu saya yang nyanyikan untuk filem tersebut,” akhirinya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.