Siti Saleha pelakon versatil
NAMA Siti Saleha bukanlah baru dalam industri seni. Mula menceburi bidang seni pada tahun 2008, namun hanya tiga tahun selepas itu barulah nama Saleha melonjak dek penangan drama Nora Ellena.
Selepas itu, kehadiran gadis berusia 23 tahun ini dalam drama atau filem hanya bersandarkan watak lemah lembut atau gadis yang baik.
Mengakui dia mengimpikan untuk melakonkan banyak watak, ujar gadis Pan Asian ini dia sebenarnya amat mendambakan watak antagonis.
“Saya memang mahukan kelainan dalam setiap watak yang saya bawakan kerana ingin menjadi pelakon yang versatil sekali gus mampu mempelbagaikan watak dalam drama atau filem yang dilakonkan.
“Sehingga kini saya masih berasa tidak puas dan mahu memberikan mutu lakonan yang terbaik bagi mengembangkan lagi bakat seni yang ada,” katanya kepada Zass.
Menurut Saleha, biarpun tidak berpuas hati dengan tahap lakonannya kini, namun dia sangat terharu dengan penerimaan peminat yang sangat menghargai setiap watak di bawanya.
“Mungkin kerana mereka menilai setiap watak yang saya lakonkan itu berbeza. Setakat ini penerimaan dan sambutan dari peminat sangat baik,” katanya sebelum ini turut melakonkan watak perempuan bertudung dalam drama bersiri Memberku Hawa Musim ke-2.
Pelakon yang tidak berasa kekok memegang watak bertudung ini mengakui cabaran dan tugas membawa watak dan menjadikan misi seorang pelakon versatil bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Kini banyak bakat baru menghiasi kaca TV. Pelakon muda seperti saya kena banyak belajar dan perlu mempelbagaikan watak bagi meningkatkan mutu lakonan.
“Ia membolehkan seseorang artis itu diangkat sebagai pelakon versatil. Perkara ini bukan sahaja akan memberi inspirasi kepada diri saya tetapi kepada pelakon yang lain,” katanya yang kini sedang bercuti di Bangkok, Thailand.
Selebriti & media sosial
Dalam pada itu, Zass mengambil kesempatan untuk bertanyakan pendapat Saleha mengenai kebaikan media sosial terhadap seseorang selebriti, memandangkan ada pihak berpendapat, artis masa kini bagai tiada nilai eksklusif apabila banyak perkara boleh diketahui peminat melalui media sosial.
Bagi Saleha, media sosial memainkan peranan penting dan menjadi gaya terkini bagi seseorang artis untuk berkongsi berita dan gambar terbaru mereka bersama peminat.
“Kebanyakan peminat kini sudah mahu berinteraksi secara terus kepada artis yang diminati melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Keek mahupun Facebook.
“Saya rasa ia adalah satu cara bagaimana peminat boleh berhubung secara langsung dan sangat dekat dengan artis kesayangan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Saleha sempat mengingatkan rakan artis agar tidak menyalah guna medium itu untuk mengelakkan berlaku sebarang kontroversi.
“Sebagai seorang artis, kita merupakan ikon seni untuk diikuti oleh peminat. Malah, setiap artis perlu menjaga batasan pergaulan dan menjaga diri mereka agar tidak dicemuh oleh peminat,” katanya.
Ditanya mengenai ramai artis yang memberikan komen agak berani kepada peminat mereka di laman sosial, Saleha menasihatkan rakan artis agar jangan terlalu menghamburkan kata-kata tidak manis untuk membalas sebarang kritikan peminat.
Pelakon yang kini popular menerusi drama Asmara Luna ini berpendirian, artis perlu menghargai peminat yang menyokong mereka di lapangan seni.
“Sebagai peminat, saya rasa tak salah mereka memberikan kritikan membina supaya perjalanan seni artis yang diminati dapat terus berkembang.
“Ia juga memberikan peluang kepada setiap artis untuk diangkat sebagai ikon dalam bidang seni. Mereka adalah penyokong sekali gus menentukan jatuh bangun setiap artis.
“Malah rata-rata peminat mengikuti Twitter saya akan sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada lakonan dan karier saya,” ujarnya.
ila pun suka tengok siti saleha berlakon =)
ReplyDeletep/s: ila klik OCBC n McD =)