Ahmad Shabery bakal bersemuka dengan Finas
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek |
Sejak ditubuhkan pada 1981, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bertanggungjawab dalam menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perusahaan perfileman tempatan.
Dalam usia tiga dekad, Finas berjaya mencapai kemajuan dalam industri perfileman tempatan di mana statistik pada tahun 2011, menunjukkan filem-filem Melayu semakin mendapat tempat di pawagam dan berjaya meraih 500,000 penonton.
Ketika itu, masing-masing memuji peranan dan tindakan Finas dalam memeriahkan industri tempatan menerusi Skim Wajib Tayang dengan menetapkan dua filem tempatan ditayangkan pada setiap minggu.
Namun, ia adalah lembaran dua tahun lalu, dan kini Finas dihimpit dengan pelbagai persoalan dan masalah berbangkit.
Walaupun pimpinan di bawah teraju bekas Ketua Pengarah, Mohd Naguib Razak menerima kritikan hebat apabila ramai yang mempersoalkan kredibilitinya, namun ia masih tidak berubah walaupun tugas Ketua Pengarah diserahkan kepada Raja Rozaime Raja Dalnish Shah.
Tambahan pula, sikap Raja Rozaime yang dilihat lebih selesa meminggirkan diri dan sukar memberikan kerjasama kepada media menjadikan Finas semakin mencipta jurang antara industri.
Bagaimanapun, Raja Rozaime, menerusi sebuah akhbar (bukan Sinar Harian), tampil menyangkal dakwaan itu dan memberitahu bahawa dia bukanlah berniat melarikan diri, namun lebih selesa bergerak secara diam dalam menyelesaikan masalah.
Pun begitu, penjelasan beliau sama sekali tidak menjawab segala isu yang ada kerana sehingga ke hari ini, masih tiada tindakan dan jalan penyelesaian yang dibuat untuk mengatasi masalah berkaitan.
Begitu juga di saat industri berdepan dengan pelbagai masalah termasuk kemerosotan dari segi kutipan filem di pawagam, Finas hanya diam seribu bahasa.
Dalam situasi itu, ramai penggiat seni terutamanya pembikin filem mula gusar, dan penerbit serta pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri memberi teguran agar Finas 'jangan tidur'.
Selain Ahmad Idham, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli turut mempertikaikan peranan dan fungsi Finas sebagai badan yang memayungi industri tempatan.
Walaupun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan dari Finas, ramai karyawan berharap dengan adanya pimpinan baru daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dapat mengatasi masalah berbangkit.
Kita ikuti temu bual bersama beliau.
Kurang setahun pelantikan, apa pandangan Datuk Seri mengenai industri seni tempatan?
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perjalanan industri tempatan yang semakin menunjukkan kadar perkembangan yang membanggakan. Walaupun ada positif dan negatifnya, saya lebih suka memandangkan sebagai suatu yang positif.
Memandangkan saya masih baru walaupun pernah menerajui industri pada satu ketika dahulu, namun saya perlu membuat banyak kajian mengenai industri. Setiap ruang lingkup industri saya perlu tahu agar permasalahan dalam industri dapat diselesaikan walaupun dengan cara berperingkat.
Apa pula pandangan Datuk Seri mengenai pentadbiran dan pengurusan Finas?
Saya tidak nafikan, Finas banyak membantu dalam membawa industri ke tahap yang lebih baik. Malah, tanpa Finas, mungkin beberapa perkara tidak dapat dicapai dengan mudah. Finas merupakan ‘jambatan’ penggiat seni untuk berhubung dengan kerajaan di mana Finas merupakan badan kerajaan yang bertindak memayungi dan menjaga industri serta pengamal seni.
Ada di kalangan penggiat seni mendakwa Finas tidak berperanan dalam membantu industri. Apa pandangan Datuk Seri?
Saya bukan mahu menyebelahi Finas, namun setakat ini Finas optimis dalam membantu. Mungkin bantuan dan usaha yang dibuat Finas lebih kepada keseluruhan dan bukan berbentuk individu atau kelompok. Saya lihat, banyak perkara positif yang berjaya termasuklah memeriahkan industri dengan penghasilan filem dan karya bermutu, skim wajib tayang dan apa jua perkara yang membabitkan perfileman. Selain itu, Finas juga membantu dalam bantuan dana perfileman, pelesenan, kemudahan studio penggambaran, kelengkapan pos-produksi, bengkel dan kursus filem serta penganjuran majlis anugerah berprestij, Festival Filem Malaysia (FFM). Jangan hanya memandang kepada kepincangan semata-mata. Saya nasihatkan para pengamal dan penggiat seni agar jangan terlalu bergantung kepada Finas.
Bagaimana pula dengan dakwaan segelintir pihak mengenai kegagalan Finas dalam mentadbir?
Ya, saya ada menerima beberapa kritikan dan pandangan mengenai pentadbiran Finas. Buat masa ini, saya dalam proses mengumpul kesemua kritikan yang ada untuk dikaji dan disiasat kesahihannya kerana sebagai menteri, saya tidak boleh bertindak terburu-buru tanpa berfikir secara rasional. Saya akan memanggil wakil daripada Finas untuk berbincang mengenai perkara ini dan mendapatkan penjelasan daripada mereka. Selepas mendengar, barulah saya akan membuat keputusan untuk memperbaiki kelemahan atau merombak semula sistem pentadbiran.
Akhir sekali, apa harapan Datuk Seri terhadap industri seni tempatan?
Sokongan padu daripada pengamal dan penggiat seni amat saya harapkan. Saya memerlukan anda semua dalam usaha membantu membawa industri ke tahap yang lebih maju dan membanggakan. Berada dalam satu industri, kita perlu berganding bahu dalam apa jua perkara. Tidak perlu bertikam lidah mahupun menuduh antara satu sama lain kerana impaknya turut mempengaruhi industri. Saya mengalu-alukan penggiat seni dalam menghasilkan karya dan filem bermutu untuk cerminan negara kita.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.