Zizan, Linda, Rusdi kongsi cerita

Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Zizan, Linda, Rusdi, kongsi, cerita, Tanda Putera


Zizan, Linda, Rusdi kongsi cerita

Menjelang Syawal, pasti ramai di kalangan umat Islam sedang berpusu-pusu membuat persiapan bagi menyambut hari penuh lebaran ini. Tidak terlepas daripada perkara sama, tiga pelakon filem Tanda Putera iaitu Rusdi Ramli, Zizan Nin dan Linda Hashim masing-masing memiliki persediaan tersendiri dalam bagi sambutan hari raya tahun ini.

Bagi Rusdi hari raya tahun ini bertambah meriah dengan kehadiran cahaya mata ketiganya yang baru berusia 10 bulan. Zizan pula sambutan raya tahun ini disambut dengan sederhana sahaja memandangkan jadual lakonannya agak padat sebelum ketibaan hari raya ini.

Berlainan pula dengan dengan Linda yang pertama kali menyambut Aidilfitri dengan gelaran seorang isteri kepada aktor Beego sejak beberapa bulan lalu. Pelbagai kisah menarik mereka kongsi sempena menyambut ketibaan Ramadan tahun ini. Jom kita ikuti cerita mereka.

Zizan sambut raya di rumah baru


Kali ini masuk tahun ketiga, Zizan menyambut hari raya bersama isteri tercintanya, Fazilah Hani Harun. Walaupun hanya membuat persiapan ala kadar, namun kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza berbanding tahun lalu kerana mereka bakal menyambutnya di rumah baru.

"Tahun ini mungkin sedikit istimewa kerana saya dan isteri sambut raya di rumah baru kami. Setakat ini kami banyak habiskan masa menghias isi rumah.

"Selain daripada itu, raya tahun ini juga mungkin beri kelainan buat saya apabila filem Tanda Putera bakal ditayangkan pada bulan sama. Bagi saya itu adalah hadiah istimewa daripada saya untuk peminat filem tanah air," katanya.

Lebihkan isteri


Ditanya mengenai persiapan hari raya yang telah disediakan setakat ini, Zizan memberitahu buat masa ini persiapannya lebih kepada isterinya.

"Tahun ini ala kadar sahaja. Saya banyak temankan isteri beli baju dia dulu. Baju saya mungkin kemudian sebab sekarang ini saya sibuk di lokasi drama 'Cikgu Manja' untuk tayangan di RTM.

"Kuih raya pula kami sudah buat tempahan daripada teman-teman artis yang menjual kuih raya. Inilah masanya mahu sokong mereka berniaga. Selain itu, duit raya seperti biasa, saya sudah tukar di bank siap-siap. Cukuplah sekadar untuk bersedekah pada ahli keluarga dan anak-anak tetamu yang datang nanti.

Linda teruja sambut raya


Sudah tentu kemeriahan sambutan hari raya buat Linda tahun ini memberi seribu satu makna buat dirinya. Menurut Linda, sejak beberapa tahun lalu, sambutan hari rayanya boleh dikatakan agak sunyi memandangkan ibunya sudah tiada lagi.

"Alhamdulillah, tahun ini raya saya agak meriah dengan kehadiran suami saya. Sememangnya saya agak bersemangat dan teruja untuk menyambutnya dengan suami.

"Mungkin seminggu sebelum raya saya akan ikut Beego balik kampungnya di Johor sehinggalah raya ketiga. Lepas itu baru balik kampung saya di Ipoh, Perak," katanya.

Menurut Linda, kemeriahan rayanya lebih terasa memandangkan suaminya memiliki keluarga yang agak besar di Johor.

"Saya rasa tiga hari beraya di sana memang tidak cukup sebab keluarga Beego memang ramai di sana.

"Memang seronok sebab tahun lepas saya juga sempat beraya di sana. Ada juga yang sudah saya kenal sebelum ini," ujarnya yang tidak sabar merasa masakan nenek suaminya.

Persiapan awal


Mengenai persiapan pula, Linda memberitahu dia dan suaminya tidak terlalu banyak membuat persediaan menyambut hari raya memandangkan mereka hanya berdua.

"Setakat ini kami biasa-biasa sahaja. Lagi pun kami cuma berdua, kalau ada anak lain lah. Persiapan bagi kami yang baru kahwin ini cuma dari segi pakaian saja, kuih pun kami beli siap.

"Baju raya memang sudah siap awal-awal lagi. Sebelum bernikah lagi baju raya sudah siap. Masa pergi Indonesia cari baju nikah, kami terus pilih tiga pasang baju raya sekali," katanya sambil tertawa.

Rusdi beraya di Kuala Lumpur


Sudah lali dengan jadual yang padat saat-saat genting Aidilfitri menjelma, Rusdi memberitahu sambutan rayanya tahun ini diraikan secara sederhana.

"Sama seperti tahun-tahun lalu, saya dan keluarga akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Kalau sudah beraya di bandar, memang tidak beraya sangatlah sebab di bandar tidak semeriah suasana di kampung.

"Mungkin hari raya pertama saja rasa beraya, lepas itu semuanya macam biasa sahaja. Tambahan pula saudara mara di sini tidak ramai," katanya.

Berkongsi mengenai persiapan pula, Rusdi akui isteri dan anak-anak adalah keutamaan bagi dirinya.

"Untuk sambut raya ini, yang penting adalah persiapan anak-anak dan juga isteri. Saya biasa-biasa sahaja.

"Apa pun raya tahun ini mungkin lebih istimewa sedikit memandangkan tahun ini tahun pertama kami sambut raya bersama anak bongsu saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, setelah selesai dengan drama 'Tentang Hati' yang turut dilakonkan oleh pelakon Aaron Aziz dan Fasha Sandha, Rusdi kini sedang menjalani penggambaran telemovie 'Karlos Raya'.

Kenangan kumpul duit raya


Setiap individu pasti memiliki kenangan terindah dalam menyambut bulan mulia Syawal. Menurut Rusdi, perkara yang paling diingati sehingga kini adalah memori beraya ketika zaman kanak-kanaknya.

"Ketika itu saya dan keluarga tinggal di kampung Ulu Klang. Hari raya pertama sahaja saya dan kawan-kawan yang lain dah sedia untuk beraya keliling kampung.

"Kalau ada rumah yang bagi duit raya banyak, rumah itulah jadi sasaran utama kami. Itulah kenangan manis yang saya tidak boleh lupa sampai sekarang," ujarnya sambil tertawa.  

---------

Trivia Filem Tanda Putera

- Filem berlatarkan tahun 70-an mengangkat genre drama, suspens dan aksi.
- Bakal ditayangkan pada 29 Ogos 2013
- Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba
- Barisan pelakon filem ini antaranya adalah Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Riezman Khuzaimi, Kavita Sidhu, Kuza dan ramai lagi.
- Mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan mereka bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.
- Filem ini mendapat kritikan hebat apabila dikatakan bakal ‘memanaskan’ lagi semangat perkauman di negara ini.
- Disebabkan kontroversi itu, tarikh penayangan sebenar 13 September 2012 terpaksa ditunda untuk dikaji semula.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers