Ryan Reynold kesayangan ramai

Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Ryan Reynold, kesayangan, ramai



Ryan Reynold kesayangan ramai


KERJAYA aktor kacak ini bermula pada 1990 ketika dia membintangi drama bersiri Kanada, Hillside atau Fifteen. Selepas itu dia mula menjadi pilihan pengarah. Antara siri popular lakonannya termasuklah Sabrina The Teenage Witch yang menggandingkannya bersama aktres genit, Melissa Joan Hart.

Apabila popularitinya semakin meningkat, pelakon kelahiran Kanada ini muncul menerusi drama bersiri Two Guys, A Girl And A Pizza Place.

Menariknya, peranannya sebagai penuntut perubatan iaitu, Berg berjaya meletakkan dia antara pelakon pujaan ramai di Hollywood ketika itu.

Tidak terhenti beberapa drama, empunya nama Ryan Rodney Reynolds atau nama layarnya Ryan Reynolds ini terus komited menjadi pelakon drama.

Meskipun namanya sudah disebut-sebut bakal bergelar bintang filem, namun dia tetap merendah diri. Antara drama lain yang diterajuinya termasuk The Odyssey as Macro, The In-Laws dan The Outer Limits.

Malah Reynolds juga antara bintang yang meningkatkan ranking drama popular The X-Files serta Scrubs. Seiring kerjayanya sebagai pelakon drama, Reynolds juga tidak menghampakan pengarah atau menolak tawaran filem yang diberikan kepadanya.

Akui suami aktres cantik Blake Lively ini, bukan mudah baginya mengimbangi antara berlakon drama dan filem.

"Di awal kemunculan sebagai pelakon drama, saya tidak sangka mampu pergi sejauh ini. Jadi, apabila ditawarkan berlakon filem, saya tetap tidak menolak  tawaran drama dan cuba beri terbaik," kata pelakon Ted ini.

Tuah The Proposal


Setelah 20 tahun berada dalam industri, Reynolds muncul dalam pelbagai genre filem yang pastinya tidak dilupakan peminat seni.

Rata-rata filem lakonannya punya kekuatan tersendiri seperti filem Blade: Trinity (Hannibal King), filem aksi Smokin’ Aces (ejen FBI, Richard Messner) dan filem seram The Amityville Horror (George Lutz).

Pun begitu, peranannya sebagai Andrew Paxton menerusi filem The Proposol tetap menawan hati peminat.

Peranannya sebagai pekerja yang terpaksa menjadi teman lelaki palsu bosnya sendiri lakonan Sandra Bullock berjaya meletakkan dia menerima pelbagai pencalonan anugerah di Hollywood.

Lebih membanggakan dia turut dinobat aktor paling disukai penonton di negara itu. Meskipun karakternya tampak mudah, tetapi ternyata watak Paxton itu meninggalkan kesan mendalam terhadap karier  Reynolds.

"Ia filem mengangkat genre komedi dan romantis, bagi saya hendak jadi lelaki sebegini sukar berbanding menjadi antagonis," katanya yang turut terkenal superhero Green Lantern.

Sedikit mengenai watak Green Lantern, jelas Reynolds, dia bangga kerana watak itu menjadi trademark kepada kariernya.

"Memang hebat dapat menjadi superhero pujaan ramai, tetapi cabarannya besar kerana bukan mudah untuk merealisasikannya," katanya.

Mati hidup semula


Jika tahun lalu dia muncul menerusi filem bersama seekor patung beruang yang pandai bercakap, iaitu Ted, tahun ini peminat dikejutkan dengan kemunculannya dalam filem aksi RIPD.

Memegang peranan sebagai Nick Walker, filem super natural ini memerlukan Reynolds menjadi detektif yang terbunuh dan hidup semula menjadi rakan seperjuangan Jeff Bridges (Roy Pulsipher) yang juga pegawai RIPD veteran.

Berkongsi pembabitannya dalam filem ini, akui Reynolds, dia gembira filem itu ditayangkan.

"Tiga filem saya sebelum ini adalah filem komedi dan dua darinya adalah animasi. Jadi, kehadiran filem ini mengubat kerinduan penonton yang mahu lihat saya beraksi," katanya.

Tambahnya, meskipun sinonim dengan watak sebegini, namun menjadi Walker amat berbeza.

"Menjadi detektif yang mati dan hidup semula tidak pernah dibayangkan, pun begitu, ia seronok kerana filem ini turut menyelitkan adegan komedi," katanya.

Sedikit mengenai RIPD, filem sentuhan Robert Schwentke ini diadaptasi dari komik Rest In Peace Department hasil tulisan Peter M Lenkov. Ia berkisar tentang Nick Walker, detektif yang baru terbunuh dan hidup semula dalam dunia baru.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers