Ahmad Fedtri & Mat Nasir. - Foto SAFWAN MANSOR |
Pengalaman berharga Ahmad Fedtri & Mat Nasir
Berbuka bersama keluarga Ahmed kaum Badwi di Deir Alla, Jordan. - Foto SAFWAN MANSOR |
JEJAK Rasul bukanlah dokumentari asing di kalangan penonton, lebih-lebih lagi ia sudah memasuki musim ke-19 tahun ini.
Krew Jejak Rasul berehat sebentar di dalam Masjidil Aqsa sementara menunggu waktu berbuka. - Foto SAFWAN MANSOR |
Mengangkat tema Jejak Rasul 19: Ramadan di Tiga Tanah Suci, Makkah, Madinah dan Baitulmaqdis, ia dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana Fedtri ditugaskan ke Makkah dan Madinah, manakala Nasir mengembara ke Arab Saudi, Jordan dan Palestin.
Berkongsi mengenai penglibatan bagi edisi kali ini, akui Fedtri dilamar menjadi hos merupakan pengalaman terhebat yang pernah ditimba sepanjang kariernya.
Katanya, ia merupakan kali pertama dia ditugaskan menjadi hos program tersebut meskipun ia sudah masuk musim yang ke-19.
"Sukar hendak saya gambarkan perasaan ketika itu, memang seronok sebab susah nak dapat pengalaman seperti ini.
"Lagipun, jika hendak dibandingkan krew terlibat, mereka sudah mempunyai pengalaman dan mengikut usia pula, saya adalah yang paling muda," katanya yang bertuah kerana sempat bermalam di Gua Hiraq.
Bercerita pengalamannya di Tanah Suci, walaupun terpaksa berhadapan dengan cuaca panas melebihi 50 darjah Celsius, penggambaran tetap dijalankan seperti biasa.
"Ia benar-benar menguji kami ketika berada di Tanah Suci, namun semuanya berjaya diatasi lebih-lebih lagi peluang ini bukan mudah untuk dimiliki.
"Bagaimanapun, apa yang membuatkan kami lebih bersemangat ialah apabila melihat penduduk Islam di sini berlumba-lumba menjalankan perkara ibadah," katanya sambil menambah, masyarakat di sana lebih selesa menghabiskan masa di sebelah siang dengan berehat dan tidur di rumah.
Kamera dirampas
Dalam pada itu, pihaknya juga mengalami pelbagai masalah lain ketika menjalankan penggambaran di sana.
"Selain masalah komunikasi, kami juga tidak boleh melakukan penggambaran dengan bebas di sana, banyak sekatan dan had daripada pihak mereka.
"Kami perlu patuh pada peraturan walaupun sedar masa yang ada sangat singkat," katanya dan memberitahu mereka dipantau pegawai kerajaan Arab Saudi sepanjang masa.
Lebih merunsingkan, apabila mereka ditahan dan kamera mereka dirampas.
"Di sana masyarakat mereka tidak suka bergambar, bukan seperti di sini. Mereka tidak terbuka seperti kita.
"Bahkan pegawai yang bertugas juga terpaksa bekerja sedangkan waktu siangnya adalah untuk berehat dan tidur," katanya dan mereka tidak boleh menjalankan tugas tanpa pemerhatian pegawai terbabit.
Pun begitu, di sebalik dugaan yang dihadapi, ujar Fedtri, dia tidak dapat melupakan kenangan manis yang tidak pernah diduganya sewaktu berada di sana.
"Sudah menjadi amalan penduduk di sini suka bersedekah dan kami memang terpegun melihat cara mereka itu.
"Jadi saya dan krew terbabit mengambil keputusan untuk mengumpul duit sesama kami dan turut bersedekah.
"Hebatnya, selepas itu, hujan turun secara tiba-tiba, apa lagi krew semua kelam kabut ambil kamera untuk merakam saat berharga itu," akuinya dan gara-gara hujan rahmat itu wujudnya episod tersebut untuk disiarkan kepada penonton.
Terkandas di Jordan
Berbeza dengan Fedtri, tahun ini merupakan musim keempat Nasir terlibat dengan pembikinan Jejak Rasul.
Bagaimanapun, untuk edisi kali ini, ia lebih istimewa kerana dia berpeluang menjadi perantara.
Berbicara mengenai pengalamannya pula, kata Nasir, perjalanannya ke Arab Saudi, Jordan dan Palestin, sangat mencabar.
"Lokasi ini banyak mencatat sejarah penting bagi umat Islam, sebab itulah kita mahu penonton merasai dan melihat sendiri bagaimana penduduk di sini menjalani ibadah puasa yang mulia ini," katanya dan memberitahu kajian terperinci dijalankan sebelum menjejakkan kaki di bumi suci itu.
Tambahnya, dengan ilmu yang ada, dia dan krew sampai jua ke Palestin.
"Oleh kerana kami tiada hubungan diplomatik dengan pihak Jordan, kami terkandas di sana selama dua minggu untuk menunggu visa disiapkan.
"Apabila perjalanan terganggu, jadual kami juga terpaksa diubah. Pun begitu, saya dah jangka ini akan berlaku kerana pernah masuk ke sini sebelum ini," ujarnya sebagai penerbit perlu kreatif apabila berhadapan perkara begini.
Memanfaatkan setiap perjalanan di sana dengan sebaiknya, akui Nasir, setiap detik dirakam untuk dikongsi bersama penonton.
Kejar malam Lailatul Qadar
Katanya, meskipun, pada awalnya, mereka berfikiran penduduk di sini masih tinggal di dalam khemah, tetapi ia adalah sebaliknya.
"Kami mahu rakam suasana tersebut tetapi lain pula yang berlaku. Mereka sudah menetap dalam rumah yang selesa dan lebih moden kini.
"Bila tiada yang tinggal di padang pasir ni, terpaksalah kami ubah strategi baru, lagipun, kalau nak dapatkan yang tinggal di padang pasir, kata mereka, tempatnya sangat jauh," katanya yang tidak mahu mengambil risiko lain.
Meskipun begitu, Nasir berpuas hati apabila masih ada masyarakat Arab yang sanggup bertolak ansur dan membenarkan krew merakam gaya hidup mereka.
"Mereka tidak sama dengan kita. Di sana, perempuan Arab hanya boleh dilihat oleh suami dan keluarga sahaja.
"Tetapi, setelah berbincang, muhasabah dan pujuk mereka, akhirnya mereka membenarkan kami membuat liputan tersebut," jelasnya yang turut diajar resipi kuih Katayef yang merupakan kuih tradisi masyarakat di sana apabila tiba bulan Ramadan dan hari raya.
Sempat menghabiskan 10 hari terakhir Ramadan di Tanah Suci itu juga adalah pengalaman yang cukup berharga bagi Nasir.
"Saya menyaksikan sendiri penduduk mengejar pahala di malam Lailatul Qadar dan ia sangat berbeza dengan masyarakat kita.
"Jika di sini penduduk berpusu-pusu ke pusat beli-belah membeli baju raya tetapi mereka pula mengejar pahala.
“Apabila tiba malam Lailatul Qadar yang jatuh pada malam 27 Ramadan, muftinya akan membuat pengumuman dan ketika itulah penduduk membanjiri Masjid Al-Aqsa," katanya yang merasakan sebulan mereka berada di sana tidak cukup untuk melakukan penggambaran.
Bahkan pada hari terakhir berada di sana, mereka sempat menjalankan penggambaran sebelum menaiki kapal terbang.
"Memang penat, khususnya mental dan fizikal tetapi setelah setahun menunggu, kami rasa sangat berbaloi," katanya dan memberitahu mendapat respons peminat di Twitter dan Facebook yang sangat memberangsangkan.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.