CCIG teruskan matlamat iktiraf pekerja seni
Majlis tandatangan MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Panchacharam P Nalliah dan wakil CCIG. |
AKMALIAH RAZAK
DI saat industri hiburan mengalami lambakan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kewujudan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG), mungkin dipandang enteng.
Malah sekali pandang, mungkin ramai di kalangan penggiat seni menganggap peranan CCIG juga lebih kurang sama dengan persatuan serta NGO lain.
Namun, sejak diperkenalkan pada 23 Ogos tahun lalu, CCIG semakin giat mendaki objektif asal dalam membantu golongan pekerja seni dari segi akar umbi.
Berbeza dengan matlamat persatuan dan NGO lain, CCIG tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja, malah kesemua kelompok tenaga kerja diberi perhatian sama rata.
Bukan sahaja di kalangan artis, malah CCIG turut memberi perhatian kepada setiap kelompok pekerja seni termasuk pekerja belakang tabir, kru, penulis skrip, pengusaha filem dan drama, serta penerbit.
Tidak kira siapa individu itu, malah setiap pekerjaan yang dilakukan dalam industri perlu diberi pengiktirafan.
Setelah menandatangani memorandum persefahaman bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), CCIG semakin mengorak langkah dalam mendapatkan kerjasama ketiga, Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM).
Menurut Presiden CCIG, Jurey Latiff Rosli, kerjasama dua hala ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi peranan CCIG dalam usaha memberi pengiktirafan dalam bentuk sijil kepada setiap ahli.
Malah, kerjasama ini mampu meningkatkan tahap profesionalisme pengamal industri kreatif sekali gus mengiktiraf tenaga kerja profesional setaraf dengan sektor lain di negara kita.
"Sebelum ini, kesemua pekerja industri tidak pernah diberi sijil perakuan kerja sehinggakan mereka sukar untuk bekerja dan mendapatkan pendapatan yang setimpal dengan hasil kerja.
"CCIG amat komited dalam membantu dan penubuhan ini tentu tidak beri impak baik jika tidak mendapat kerjasama daripada persatuan yang ada.
"Kita amat memerlukan PFM kerana kuasanya sebagai 'majikan' setiap pekerja amat besar. Malah, dengan cara itu, PFM dapat mengenal pasti ahli berdaftar dan tahap kemahirannya telah diperakui," katanya yang turut mendapat kerjasama daripada kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Pendaftaran ahli meningkat
Menurut Jurey, sejak ditubuhkan Ogos tahun lalu, CCIG kini mencatat peningkatan sehingga 3,700 ahli sehingga kini. Menyasarkan 15,000 ahli untuk tempoh tiga tahun pertama, Jurey memandang perkara ini dari sudut positif dan berharap agar bilangan itu akan bertambah dari masa ke semasa.
"Setelah diteliti, bilangan ahli itu terdiri daripada 80 peratus penggiat seni dan 20 peratus lagi golongan pelajar.
"CCIG tidak hanya untuk golongan pengamal industri hiburan semata-mata, ia turut mewakili cabang industri yang berkaitan seperti kraf, lukisan dan kerja-kerja seni yang diiktiraf.
"Malah kami juga turut mengalu-alukan pendaftaran daripada kalangan media dan syarikat organisasi. Sehingga kini, seramai 50 ahli telah memiliki sijil perakuan sah dari CCIG," katanya yang turut melantik beberapa Ahli Majlis
Kerja yang diberi tanggungjawab untuk menilai kelayakan dan pencapaian individu di kalangan ahli.
Selain itu, CCIG juga turut bekerjasama dengan universiti dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dalam menyediakan kursus sesuai buat pekerja belakang tabir untuk mendapatkan sijil pengiktirafan itu.
Menurutnya, CCIG juga tidak mengecualikan mana-mana artis luar yang ingin menempa nama dalam industri tempatan kerana mereka boleh menjadi ahli bersekutu CCIG.
Mohon semua bersatu
Turut mengharapkan kerjasama daripada persatuan yang ada, Jurey berkata, penubuhan CCIG dilihat mampu menyatukan persatuan yang sedia ada.
"Industri hiburan tempatan bukanlah besar mana. Malah, tidak guna kita saling berperang untuk menegakkan matlamat dan objektif masing-masing.
"Saya harap, bukan hanya tiga persatuan ini sahaja yang tampil bekerjasama dengan CCIG kerana semakin ramai ahli dan persatuan, CCIG semakin teguh dan boleh melaksanakan beberapa usul lain lagi selepas ini.
"Malah, CCIG bukanlah persatuan saingan kepada yang sedia ada kerana matlamat kami hanyalah untuk membantu nasib pekerja seni dan memberikan sinar masa depan yang lebih cerah kepada mereka," katanya.
Pada tahun lalu, CCIG juga menerima suntikan dana dari kerajaan sebanyak RM2 juta untuk menjalankan aktiviti berkaitan terutamanya dalam mempromosikan pertubuhan NGO itu kepada masyarakat.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.