Ditahan ugut simbah asid muka bekas isteri


Malaysia, Penang, Geargetown, Jenayah, Lelaki, Ugut, Simbah, Asid, Bekas, Isteri


Georgetown: Seorang lelaki ditahan selepas mencederakan dan mengugut hendak mencurah asid ke muka bekas isterinya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Lebuh Maccalum, di sini, malam Selasa lalu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, lelaki terbabit yang berusia 35 tahun datang ke rumah mangsa berusia 32 tahun sebelum berlaku pertengkaran apabila suspek menuduh bekas isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. 

Ugut curah asid 

Jurucakap polis berkata, suspek yang tidak berpuas hati dengan bekas isterinya kemudian bertindak ganas memukul wanita itu hingga cedera di muka dan badan selain mengugut hendak mencurahkan asid ke muka mangsa. 

Beliau berkata, mangsa yang bimbangkan keselamatannya kemudian membuat laporan polis keesokan harinya. 

Berikutan itu, polis menahan suspek pada Rabu lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dengan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Polis juga menyiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, katanya. 
Sementara itu, seorang peniaga berusia 45 tahun kerugian RM10,000 apabila tiga pasu antik dari China hilang selepas rumahnya dipecah masuk pencuri dalam satu kejadian di Gelugor, di sini, Selasa lalu. 

Melarikan pasu antik 

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 pagi dan 8 malam ketika mangsa dan keluarga tiada di rumah apabila pencuri memotong mangga dan mengopak pintu kayu rumah sebelum melarikan pasu antik terbabit. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers