Gagal bina masjid, surau

Gagal bina masjid, surau, Jitra, Kedah, Kerajaan Pas Kedah, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Johari Baharom, Islam, Politik, Malaysia
JITRA - Kerajaan Pas Kedah dicabar mengemukakan fakta dan bukti yang mereka melaksanakan syiar Islam dan menjaga kepentingan umat Islam negeri tersebut. 

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Johari Baharom (gambar) berkata, setakat ini, tiada satu pun masjid atau surau dibina kerajaan negeri sejak memerintah Kedah selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008. 

Katanya, umat Islam di Kedah beruntung kerana kerajaan Persekutuan terus membela nasib mereka walaupun diperintah pembangkang.

"Nak harapkan kerajaan Pas Kedah, cakap saja lebih macam tong kosong.

"Sejak 2008 hingga tahun lepas, kerajaan Pusat telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membina masjid dan surau serta menaik taraf kedua-dua institusi berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 bagi lima buah sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan Padang Pekan di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Roslee Ismail.

Mohd. Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kerajaan Pusat turut membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun bagi membayar gaji dan elaun pegawai masjid serta guru-guru agama di Kedah.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri perlu membayar elaun imam sebanyak RM750 bagi menyamai pemberian kerajaan Pusat sebanyak RM750 dan bukannya RM50 sahaja.

Menyentuh soal pendidikan, Mohd. Johari memberitahu, seramai 3,598 pelajar dalam daerah Kubang Pasu menikmati Rancangan Makanan Tambahan bernilai RM1.2 juta, manakala sebanyak 12,674 murid sekolah menerima bantuan berjumlah RM4.355 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar.

"Seramai 1,041 pelajar sekolah menengah pula menerima biasiswa antara RM700 hingga RM840 seorang setahun berjumlah RM942,760.

"Sebanyak 3,110 pelajar sebelas buah sekolah berasrama penuh pula menerima bantuan asrama bernilai RM10.5 juta pada tahun lepas," ujarnya. - Bernama

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers