Dicekup edar dadah di stadium

Dicekup, edar, dadah, di, stadium, Kota Bharu, Kelantan, Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, Heroin, RM125,000, Jenayah, Malaysia
MAZLAN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang wanita di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Hukuman penjara selama lebih lima tahun yang dilalui sebelum ini nyata tidak menginsafkan seorang pengedar dadah wanita apabila dia sekali lagi ditahan atas kesalahan sama.

Kali ini suspek berusia 42 tahun yang berasal dari Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang berdepan hukuman mati selepas dia ditahan bersama 50 botol lut sinar yang mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin bernilai RM125,000.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memberitahu, sepasukan pegawai dan anggotanya telah menerima maklumat mengenai suspek dan melakukan serbuan di pekarangan tempat letak kereta di Stadium Sultan Muhammad IV dekat sini kira-kira pukul 1.35 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui dadah tersebut yang dibalut menggunakan kertas surat khabar di dalam beg tangan suspek dan dia dipercayai sedang menunggu pelanggannya di kawasan berkenaan.

"Kita menemui wang tunai berjumlah RM282 dan mata wang Thailand berjumlah 7,770 bath (RM787). Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun hasil soal siasat membawa kepada penahanan suaminya berusia 45 tahun yang positif dadah di Kampung Gual Tok Deh kira-kira pukul 8.15 malam.

"Selain itu, kita merampas sebuah kereta Perodua Myvi milik suspek yang dianggarkan berharga RM40,000 dan barang kemas bernilai RM5,133 di bawah Akta Perlucutan Harta Akta Dadah Berbahaya 1988 kerana dipercayai diperoleh hasil jualan dadah," katanya di sini semalam.

Mazlan memberitahu, dadah berkenaan dipercayai hendak diedarkan di pasaran tempatan khususnya kawasan Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan," ujarnya.

Jelasnya, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan pernah dipenjara selama lebih lima tahun sebelum dibebaskan dari Penjara Pengkalan Chepa pada 2 Januari 2004 atas kesalahan dadah.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers