iskandarX Society Hiburan - Syafinaz Tingkatkan Momentum



KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2012: Menggalas amanah sebagai Penasihat dan Pengarah Artistik serta Vokal untuk Konsert Dir... sebagai apresiasi buat Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sekitar dua tahun lalu, Syafinaz Selamat terus meningkatkan momentumnya dalam mempersembahkan konsert berskala besar itu sekali lagi pada 7 dan 8 Julai ini.






Merealisasikan Konsert Dir... Suara 1Malaysia Koir Kebangsaan berlokasi di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelantun Ingin Bersamamu itu mengambil inisiatif untuk mengenengahkan seleksi lagu kurang dikenali yang didendangkan oleh Sudirman.


Konsert yang dijalankan bersempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 itu dilihat sebagai tarikan utama buat peminat kerana mereka berkesempatan untuk mendengar himpunan lagu Sudirman selain antara naskhah hitnya seperti Salam Terakhir, Pelangi Petang, Chow Kit Road dan Gerimis Di Lautan, Balik Kampung.


"Kelebihan yang bakal ditonjolkan adalah daripada senarai lagu sendiri. Kita hanya mengetahui beberapa lagu hit Sudirman tanpa menyedari ada banyak lagi lagu menarik yang jarang bermain di halwa telinga peminat.


"Bayangkan, kebiasaan konsert apresiasi buat Sudirman lebih terarah menghidangkan penonton dengan lagu-lagu sedih. Namun hakikat sebenar Sudirman ada banyak lagu yang bersesuaian dengan setiap kehidupan manusia.


"Justeru, saya ingin menampilkan keseronokan pada konsert kali ini selain mahukan peminat bergembira sepanjang menikmati lagu-lagu yang tidak pernah mereka dengar sebelum ini. Dan secara tidak langsung, ia akan mengingatkan kepada semua bahawa tidak semua lagu Sudirman kedengaran sedih belaka," kata Syafinaz ketika ditemui pada hari latihan konsert itu di ibu negara baru-baru ini.


Dan ketika berkongsi kisah tentang latihan konsert itu, Syafinaz meluahkan kesyukuran kerana tidak berdepan banyak masalah kerana dibantu oleh pasukannya seramai 27 orang yang cukup komited.


"Latihan bermula sejak pertengahan April lalu dan sekarang kami hanya perlu memastikan persembahan berjalan lancar. Selain menyanyi, barisan artis yang melibatkan diri pada konsert ini perlu menari dan berlakon tanpa mendapat bimbingan konduktor.


"Yang pasti, mereka terdiri daripada penyanyi koir dan bukan penari atau pelakon. Lantaran itu, pembelajaran suara masih diutamakan dengan menggunakan empat jenis vokal.


"Sejujurnya, ia bukan tugas yang mudah. Saya lihat koreografi hanya membantu daripada segi visual untuk menghiburkan peminat. Dan saya amat bersyukur kerana setiap daripada mereka dapat menguasai aspek suara ini dengan cepat.


"Kalau bercakap soal susunan lagu, saya banyak membuat perubahan seperti muzik ditukar agar ia kedengaran lebih pop. Cuma pada waktu yang sama, saya masih mengekalkan melodi asal dengan beberapa buah lagu didendangkan secara medley," jelasnya dalam nada suara penuh berambisi terhadap konsert gergasi itu.


Bagi memperindahkan setiap inci perjalanan konsert itu, Syafinaz turut mendapat bantuan daripada Pengarah Koir Kebangsaan, Tunku Marina Tunku Datuk Zubir.


Antara lagu yang bakal didendangkan kepada audiens pada malam itu adalah Seruling Bambu, Basikal Tua, Pelangi Petang, One Thousand Million Smiles, Mat Disko, Aku Penganggur dan Hoore Hoore.


Paling menarik, konsert dengan durasi satu jam setengah itu turut menampilkan sosok istimewa, Azlan The Typewriter yang bakal mendendangkan untaian lagu malar segar Sudirman.


Informasi Konsert Dir... Suara 1Malaysia Koir Kebangsaan:


Tarikh - 7 dan 8 Julai 2012
Lokasi - Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, KL.
Waktu - 8.30 malam
Harga tiket - RM10, RM20 dan RM30


Tiket boleh dibeli secara talian di www.ticket2u.biz atau mendapatkan di kaunter tiket di Istana Budaya.


Ok jangan lupa beli tiket-tiket kat orang yang betul dan jangan beli daripada ulattiket ok? Untuk mengelakkan korang daripada salah masuk konsert pulak nak pi tengok konsert kang tak pasal naik bas ke Johor pulak.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers