16 September: Baju merah ke baju hitam?

16 September: Baju merah ke baju hitam?
Bukan setakat warna, kecelaruan juga timbul mengenai tempat
perhimpunan dan jalan yang akan dilalui pada hari berkenaan

Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu dikatakan tidak bersefahaman mengenai warna tema baju yang akan dipakai 16 September ini.

Bukan setakat warna, kecelaruan juga timbul mengenai tempat perhimpunan dan jalan yang akan dilalui pada hari berkenaan.

Orang kuatnya, Datuk Jamal Md Yunos menerima tempelak selepas Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam tidak menetapkan sebarang warna tema, dalam erti kata lain peserta boleh pakai apa sahaja warna yang mereka suka.

Bahkan ia turut menolak baju merah sebahagian daripada mereka.

Mengulas mengenai ketidak sefahaman yang timbul, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin menyifatkan 16 September ini, hari yang penuh warna warni.

“Mungkinkah nanti himpunan 16 September itu menjadi berbelang-belang warnanya? Tak kelakar ke?

“Lalu, di mana kesepakatan dan solidaritinya?

“Pesaka turut tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kehadiran, tetapi Jamal mengatakan pihaknya akan mengumpul seramai 30 ribu peserta bagi tujuan itu.

“Kenapa hanya 30 ribu? Mana angka yang diwar-warkan dulu kononnya sejuta peserta, 500 ribu, 300 ribu dan sebagainya?

“Kalau nak lawan Bersih 4 dan menunjukkan sokongan kepada Najib Razak, bukankah jumlah yang munasabah ialah sekurang-kurangnya 500 ribu?

“Jika tidak, malulah Pahlawan Bugis!!,” tulisnya di shahbudincom.blogspot.

Berbeza dengan Bersih 4.0, perhimpunan yang dibuat pada sambutan Hari Malaysia dianggap tidak mempunyai fokus dan tuntutan yang jelas.

“Tidak seperti Bersih 4 yang ada asas perjuangannya, himpunan baju merah hanyalah medan pembodek dan pengampu mempamerkan aksinya sambil memasang angan-angan untuk mengaut laba diri sendiri sahaja,” tulisnya.

Bahkan segalanya dilihat lebih menjurus kepada sentimen perkauman.

Keadaan itu dilihat boleh memberi implikasi yang lebih buruk terhadap situasi yang sedia ada khususnya dalam konteks politik.

Pastinya, jika diteruskan juga undi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) akan semakin merosot.

“Sebelum api ini memusnahkan segala-galanya, adalah lebih baik Najib Razak mengambil tindakan mengeluarkan arahan membatalkan saja himpunan pada 16 September ini.

“Meskipun pada awalnya Najib mengatakan tiada halangan dan tidak melarang ahli-ahli UMNO menghadirinya, mungkin kerana merasakan ia untuk memberi sokongan kepadanya, lebih terpuji jika Najib segera menarik balik semua itu.

Kepada Najib, Shahbudin mengingatkan perhimpunan yang akan diadakan Rabu ini tidak akan menyumbang atau memberi bonus terhadap karier politiknya.

Katanya lagi, isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang timbul kembali kian menghakis sokongan rakyat terhadapnya.

“Sekali lagi, demi keharmonian dan semangat Hari Malaysia, lebih baik Najib batalkan segera, setidak-tidaknya dapat juga menjimatkan lebihan derma RM2,600 yang masih disimpannya!!,” tulis Shahbudin sebelum mengakhiri entrinya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers