Misteri MH370 Beri Peluang Riz Zaizizi Menjelma
Kemunculan lagu Singkapkan Doa Kami yang diilhamkan pasangan suami isteri LY dan Baiduri sempena misteri kehilangan pesawat MH370 telah memberi peluang keemasan buat penyanyi lagu berkenaan iaitu Riz Zaizizi.
Apatah lagi, Riz yang mula dikenali menerusi program realiti Akademi Fantasia 6, seakan menghilangkan diri hampir empat tahun daripada terbit dalam mana-mana program berteraskan hiburan, baik di TV mahupun corong radio tempatan.
Namun rezeki nampaknya menyebelahi anak muda berusia 28 tahun itu apabila LY dan Baiduri menganjurkan sesi uji bakat bagi mencari penyanyi baru yang bakal bernaung di bawah label Kelarai Sakti Sdn Bhd.
Daripada terus bergerak sendirian, kini Riz boleh menarik nafas lega apabila syarikat berkenaan telah bersetuju mengambilnya dan sebagai permulaan maka lahirlah Singkapkan Doa Kami yang semakin menjadi bualan hangat.
Dihubungi portal murai.com.my, Riz Zaizizi berkata, dia tidak pernah menghilang atau menyembunyikan diri daripada dunia seni sebaliknya masih aktif menyanyi, meskipun tidaklah sehebat seperti mana di awal kemunculannya dahulu.
“Saya tidak menghilang kerana selepas lagu duet bersama Alyah (Ku Pinjam Satu Bintang), saya mula bergerak sendiri dan telah melahirkan single berjudul Aku Yang Terbaik yang mendapat sentuhan komposer dari Indonesia.
“Saya cuba untuk menembusi pasaran di Indonesia, tetapi ia bukanlah satu kerja yang mudah. Banyak politiknya.
“Tetapi dalam masa yang sama, saya turut mencuba untuk memperkenalkan lagu berkenaan di corong radio tempatan, tapi tak berjaya juga. Kemunculan dan lagu saya tidak diterima.
“Namun, dalam masa yang sama, saya turut membuat persembahan pentas, meskipun tak banyak tetapi cukuplah untuk belanja makan minum saya seorang diri,” katanya.
Ditanya adakah dia melahirkan perasaan kesal dengan sambutan dingin stesen radio tempatan yang enggan memainkan lagunya, Riz mengakui perasaan itu wujud dan masih tidak mengertai mengapa situasi itu harus berlaku.
Apatah lagi kata Riz, lagu Aku Yang Terbaik telah mendapat sambutan positif daripada kebanyakan peminatnya di laman YouTube bagaimanapun masih tidak dimainkan di beberapa corong radio utama tanah air.
“Kesal itu memang kesal. Tapi saya bukannya kesal dengan industri muzik kita tetapi dengan stesen radio. Mungkin kerana saya bukan artis di bawah naungan mereka, maka saya tidak mempunyai kepentingan untuk mereka memainkan lagu saya.
“Mungkin sudah menjadi lumrah, peminat sering diberikan dengan lagu-lagu yang popular di corong radio, sedangkan ada banyak lagi lagu yang bagus yang tak popular tetapi boleh dipopularkan sekiranya kerap dimainkan di radio,” katanya.
Jelas Riz, dia bersyukur apabila pihak Kelarai Saksi telah mengambilnya untuk bernaung di bawah syarikat berkenaan dan dalam masa yang sama dia turut dapat mengeksploitasi peluang yang lebih menarik untuk dijelajahi.
Katanya, selain mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan TV, dia juga kini sedang sibuk mengusahakan perniagaan jubah serta kurta di bawah syarikatnya sendiri yang dijual menerusi laman sosial pada harga berpatutan.
Bercerita mengenai lagu Singkapkan Doa Kami, kata Riz lagu berkenaan hanya dirakamkan selama tiga jam iaitu pada Khamis lepas sebelum diperdengarkan dihadapan orang ramai ketika majlis ramah mesra LY dan Baiduri bersama-sama peminat dan pihak media di taman tema Wet World, Shah Alam.
“Kalau nak ikutkan proses rakamannya memang agak singkat, tetapi bagi saya menyanyikan lagu ini bagaikan kita sedang berdoa dan mengharapkan sesuatu yang baik.
“Apatah lagi lagu ini diilhamkan khusus sempena misteri kehilangan MH370 dan ia adalah satu kejadian yang betul, bukan dongeng dan sedang dialami oleh kita semua termasuklah saya. Jadi agak mudah untuk saya mengaitkan lagu ini dengan nyanyian saya,” katanya.
Memang sedap dan syahdu lagu baru riz...suai ngn vokal dia..pernah dengar kat tv...
ReplyDelete