Amy Search Sahkan Dirinya Muflis Kerana Dianiaya

Amy Search Sahkan Dirinya Muflis Kerana Dianiaya
Amy Search Sahkan Dirinya Muflis Kerana Dianiaya

Amy Search Sahkan Dirinya Muflis Kerana Dianiaya


Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya penyanyi lagenda rock negara, Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 55, tampil dan mengesahkan kontroversi kononnya dia sudah disahkan muflis.

Amy Search mendedahkan dia jatuh muflis setelah dianiaya oleh sahabatnya sendiri. Namun tidak dapat mengulas lanjut kerana sudah menyerahkan kes itu kepada mahkamah untuk tindakan seterusnya.

"Apa yang boleh saya katakan, saya sebenarnya dianiaya oleh sahabat baik sendiri sehingga menyebabkan saya muflis. Salah saya juga kerana terlalu percayakan kawan.

"Namun buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut kerana akan membawa kes ini ke mahkamah untuk tindakan seterusnya," kata Amy kepada murai.com.my ketika ditemui selepas sidang media Konsert Destini di Hotel Blue Wave, semalam.

Pun begitu, Amy akui sudah memaafkan orang yang mengkhianatinya dan berharap individu tersebut akan memperbetulkan kembali keadaan.

Dalam laporan sebelum ini, Amy dipercayai gagal untuk menyelesaikan sejumlah hutang yang dipinjamnya bagi menjayakan konsert jelajah Di Awan Biru sekitar 2009. Perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah dan keputusan yang dikeluarkan telah menyebabkan Amy diisytihar sebagai muflis.

Semalam, Amy telah meluahkan dan mendedahkan mengenai kisah bagaimana dia ditipu dan dianiaya sehingga muflis di laman sosialnya iaitu Facebook.

Amy menjelaskan, sebelum ini dia berdiam diri dan mengelak daripada berbicara mengenai perkara itu kerana enggan isu tersebut menjadi kecoh sehingga boleh menimbulkan fitnah.

"Ya, apa yang saya kongsi di laman Facebook adalah luahan rasa hati yang saya pendamkan selama beberapa tahun ini.

"Sebenarnya, luahan saya itu hanya sedikit dan masih banyak perkara lain belum saya jelaskan," jelasnya.

Amy berkata, walaupun pada mulanya dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia telah muflis dan dikhianati oleh sahabatnya sendiri namun dia menyedari ianya adalah satu dugaan.

Malah Amy memberitahu dia tenang sahaja menjalani kehidupannya seperti biasa dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.

"Ini baru dugaan di dunia. Alhamdulillah terus-terang saya dapat menghadapinya dengan tenang dan tidak terlalu memikirkannya.

"Malah saya masih bersyukur kerana mempunyai kudrat sepasang tangan dan sepasang kaki serta masih dikurniakan suara yang baik untuk terus bekerja dan menampung keluarga saya selepas ini," katanya.

Amy bakal muncul dalam Konsert Destini bagi mengumpul dana Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB). Konsert yang bakal diadakan pada 20 dan 21 Disember depan turut menampilkan barisan artis lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rossa, Pansha (Ungu), Adira, Hafiz, Jaclyn Victor, Awie dan Dayang Nurfaizah.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers