Perginya Madonna Malaysia Noreen Noor

Perginya Madonna Malaysia Noreen Noor
Allahyarham Noreen Noor

Perginya Madonna Malaysia Noreen Noor


NAMA Noreen Noor barang kali sedikit asing bagi generasi muda, namun wanita berusia 54 tahun ini pernah mendapat jolokan Madonna Malaysia sekitar tahun 1980-an.

Namun semalam, industri seni kehilangan sebutir lagi permata berharga apabila Noreen menghembuskan nafas terakhir jam 5.50 pagi di di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri, disebabkan komplikasi buah pinggang.

Ternyata pemergian Allahyarhamah mengejutkan ramai khas peminatnya kerana Noreen tidak pernah memaklumkan penyakit dihadapinya kepada umum, sebaliknya hanya teman rapat yang mengetahui perkara tersebut.

Jenazahnya disembahyangkan dan dikebumikan di kampung halamannya di Kilometer 16, Kampung Pulai, Serkam, Merlimau, Melaka selepas solat Zohor, hari sama.

Noreen juga meninggalkan dua orang anak hasil dari dua perkahwinannya.

Nama Noreen Noor mula dikenali selepas menceburkan diri dalam dunia lakonan pada era 80-an menerusi filem pertama lakonannya, Talak.

Bakatnya dilihat pada usia lima tahun dan berada di bangku sekolah, apabila dia berani tampil dalam satu pertandingan menyanyi dan menjadi juara.

Sekali lagi bakatnya telah dibuktikan selepas memenangi satu pertandingan nyanyian ketika berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Berbakat besar

Awal kemunculan seorang kenalan, Ramli Salleh, mengundang Noreen untuk membuat persembahan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur bersama beberapa artis terkenal seperti Rohana Jalil dan Salamiah Hassan.

Disebabkan persembahan Noreen memukau khalayak, dia ditawarkan untuk merakamkan album di bawah syarikat Columbia Broadcast System (CBS).

Persetujuan dengan CBS membawa kepada permulaan dunia seni komersial Noreen. Selepas itu, dia ditawarkan merakamkan album pertamanya yang bertajuk ‘Kepastian’ bersama syarikat rakaman tersebut.

Selepas melihat bakat yang ada dalam diri Noreen dan penerimaan masyarakat terhadapnya, syarikat itu sekali lagi mempercayai Noreen dan terhasillah beberapa buah album ‘Dariku Untukmu’, ‘Air Mata dan Sunyi’.

Lagu-lagunya itu juga sering kali dimainkan di orong radio dan lagu yang membawa tuah kepadanya adalah lagu ‘Siang Terbayang Malam Merindu’.

Raya Tak Jadi filem terakhir

Dengan mempertaruhkan wajah yang jelita dan dipadankan dengan alunan suara merdu serta kebolehan berlakon, pelakon ini juga telah membintangi filem Hantu Siang, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

Noreen juga sangat komited dalam dunia lakonan dan menyayangi perjuangannya dalam bidang seni.

Namun, selepas pelakon cantik ini menghasilkan album Air Mata, dia mengambil keputusan berundur daripada bidang ini dan menjadi suri rumah sepenuh masa apabila telah bertemu jodoh kali kedua.

Terakhir, anak kelahiran Singapura ini melakonkan watak isteri kepada Pemohor Besar, lakonan Datuk Jalaluddin Hassan menerusi filem Raya Tak Jadi pada tahun 2011.

Selepas menyepi seketika dalam dunia hiburan, Noreen giat menguruskan sebuah syarikat pengurusan acara. Kini tiada lagi kelibat Noreen dalam industri, selain kenangan yang ditinggalkan kepada semua.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers