Hasrat Allahyarham Noreen tunaikan haji

Hasrat Allahyarham Noreen tunaikan haji
Ahli keluarga dan rakan artis yang hadir turut mengaminkan bacaan doa saat talkin dibacakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai.

Hasrat Allahyarham Noreen tunaikan haji


JASIN - Pelakon dan penyanyi popular era 80-an, Noreen Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Merlimau, dekat sini selepas solat Zuhur, semalam.

Allahyarham Noreen atau nama sebenarnya, Noraini Mohamad Noor, 54, meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, pada jam 5.45 pagi semalam, akibat penyakit darah tinggi dan buah pinggang.

Jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman di Kilometer 16 Kampung Pulai, sebelum dikafan dan disembahyangkan di Masjid Ar Rahman, di sini.

Dianggarkan lebih 500 orang termasuk saudara mara serta sahabat handai mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan termasuk bekas suami Allahyarham, Baharuddin Ngah; anaknya, Danial Baharuddin, 22, dan seorang anak angkat, Diana Tihana, 11.

Antara artis yang turut hadir memberi penghormatan terakhir, Norsheila Amin, Siti Fairuz, Salwa Abdul Rahman, Azizul Khamis dan komposer, Eddie Hamid.

Norsheila yang merupakan sahabat baik Allahyarham berkata, dia masih terkejut dengan pemergian rakan yang dikenali lebih 20 tahun itu.

Menurutnya, Allahyarham seorang sahabat yang manja dan tidak kedekut untuk memberi semangat kepada rakan-rakan lain terutama dalam dunia seni.

"Arwah seorang anak bertanggungjawab kerana sebelum ini sanggup berhabisan duit membiayai rawatan ibu bapanya yang sakit. Malah, arwah pernah meluahkan hasrat mengerjakan haji," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Noreen adalah ketika bergandingan dalam sebuah rancangan televisyen sempena Aidilfitri lalu.

"Kami sentiasa berhubung di Facebook dan telefon. Saya masih terkejut dengan pemergiannya yang saya sifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi kami," katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Rakan baik Allahyarham, Halimahtun Abdul Jalil berkata, Allahyarham seorang yang tidak suka menyusahkan rakan-rakannya.

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah menawarkan diri untuk membawanya ke hospital, namun Allahyarham menolak kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Tak sangka semalam (kelmarin) dia pergi ke hospital seorang diri. Saya tahu dia nazak awal pagi tadi (semalam)," katanya.

Halimahtun berkata, mereka berdua sempat berbuka puasa bersama sempena puasa sunat wukuf, Isnin lalu.

Seorang lagi rakan baik dikenali sebagai Sheba berkata, Allahyarham Noreen mengadu sakit dada sebelum dibawa ke Hospital Ampang Puteri, kelmarin dengan ditemani anak angkatnya.

Sementara Danial pula berkata, ibunya pergi ke hospital berkenaan kira-kira 10 pagi kelmarin, sebelum dia dihubungi pihak hospital pada sebelah petang memaklumkan ibunya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Sebelum ini arwah tidak cakap sakit apa dan tidak mahu orang tahu. Tapi dalam dua tiga hari ini, dia sakit tangan kanan dan susah nak angkat," katanya yang sempat menemani Allahyarham di ICU sehingga menghembuskan nafas akhir.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers