Sarah Hildebrand Ke Kelas Lakonan Lepas Balik Paris

Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Sarah Hildebrand, Ke, Kelas Lakonan, Lepas, Balik, Paris
Sarah Hildebrand

Sarah Hildebrand Ke Kelas Lakonan Lepas Balik Paris


KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2013: Demi melunaskan impiannya untuk bergelar pelakon, juara pencarian Gadis M2, Sarah Hildebrand, 23 perlu menghadiri kelas lakonan sebaik saja pulang daripada bercuti ke kota Paris bersama ibu tercinta.

Gadis kacukan Melayu-Amerika itu berkata, kelas lakonan itu sangat penting terutama sekali apabila dia bakal beraksi dalam sebuah drama bersiri terbitan Astro tidak lama lagi.

Bercakap kepada portal murai.com.my, Sarah menjelaskan biarpun sebelum ini minatnya lebih cenderung kepada bidang peragaan dan pengacaraan tetapi dia sedar kemampuannya akan terserlah dalam bidang lakonan jika diberikan peluang.

"Sebenarnya saya tidak bersedia lagi untuk berlakon. Tetapi sebagai persediaan awal, saya perlu menghadiri kelas lakonan bagi memudahkan tanggungjawab saya itu nanti.

"Sebagai orang baru dalam industri, terus terang saya katakan, saya langsung tidak kisah dengan apa juga peranan yang diberikan kepada saya. Kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baru dalam hidup ini," katanya yang menjadikan Maya Karin sebagai idolanya.

Merupakan anak tunggal daripada perkahwinan bapanya yang berbangsa Amerika, manaka ibunya berbangsa Melayu, Sarah langsung tidak kekok dengan budaya masyarakat di negara ini meskipun telah sekian lama menetap di Amerika Syarikat.

Katanya, sebelum memasuki pertandingan Gadis M2, penguasaan bahasa Melayunya sangat lemah bagaimanapun kerana mahu menyinar dalam pertandingan berkenaan dia berazam untuk mendalami bahasa ibunda itu.

"Saya di lahirkan di Sentul. Bagaimanapun selepas tingkatan 3, saya ikut bapa saya ke Amerika Syarikat dan belajar di sana. Sekarang sudah empat tahun saya tidak pulang ke Amerika kerana ibu dan ayah sudah lama bercerai.

"Kalau dulu saya lebih terdedah dengan budaya barat kerana tinggal lama di sana. Tetapi selepas pulang ke tanah air dan tinggal bersama ibu, budaya ketimuran banyak menyerap ke dalam diri kerana setiap hari saya belajar benda baru.

"Apabila berjaya dalam program Gadis M2 ini, semangat saya terhadap budaya masyarakat negara ini lebih dan saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan ini," katanya yang tidak sabar ingin menjelajah ke Paris sebagai hadiah kemenangannya dalam program berkenaan.

Selain peluang bercuti ke Paris, sebagai juara Sarah turut menerima set perhiasan mutiara Rafflesia bernilai RM30,000, kontrak bernilai RM100,000 daripada Astro, biasiswa kecantikan bernilai RM20,000 daripada Snips, sepuluh lembaran fesyen di majalah InTrend.

Kata Sarah, meskipun dunia lakonan dianggap sukar apatah lagi ianya cukup asing buatnya, namun kerana percaya dengan kemampuan serta kesungguhan dalam diri, tanggungjawab itu pasti akan dapat dipikul dengan sebaik mungkin.

Ditanya sama ada dia selesa dengan gelaran selebriti yang dilabel ke atas dirinya selepas memenangi program Gadis M2, jelas Sarah setakat ini gelaran berkenaan masih belum menghantui dirinya tetapi dia pasti lambat laun ianya akan terjadi juga.

"Setakat ini saya memang tak terasa dengan gelaran berkenaan. Tambahan pula saya tidak pernah meletak diri saya sebagai seorang selebriti kerana saya tahu gelaran itu sangat menakutkan buat diri saya.

"Walaupun begitu saya perlu akur dan terima. Dalam apa juga keadaan saya perlu lebih berhati-hati terutama dalam soal berpakaian, bertutur dan tempat akan saya kunjungi kerana sebagai seorang selebriti, orang akan sentiasa memerhatikan kita.

"Apa yang penting, saya perlu mula selesa dengan gelaran selebriti," katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers