Debaran Anugerah Blockbuster 2!

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Debaran, Anugerah Blockbuster 2
Nora Danish Dan Adi Putra


AKMALIAH RAZAK
14 Jun 2013

MAJLIS Anugerah Blockbuster 2 bakal membuka tirainya esok dengan bersiaran secara langsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya, Johor Bahru (MBJB), jam 9 malam.

Bertemakan gaya vintage kontemporari atau hipster, dua selebriti popular, Scha Al Yahya dan Datuk AC Mizal diberi peranan mengemudikan acara berprestij itu di samping beberapa selebriti, Hanis Zalikha, Hefny, Tasha Shila serta Hafizul sebagai pengacara karpet merah.

Merupakan penganjuran kali kedua, majlis anugerah yang dianjurkan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) diharapkan membawa beberapa pembaharuan positif untuk memperbaiki kelemahan lalu.

Tahun lalu, anugerah ini turut tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai kontroversi, cemuhan dan kritikan ekoran keberanian artis dalam berfesyen.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan nama kategori yang dipertandingkan kerana ianya hanyalah program anugerah yang memberi kuasa undian kepada penonton sahaja.

Anugerah tahun ini menyaksikan pembaharuan apabila 16 kategori termasuk tiga anugerah khas, Anugerah PFM, Anugerah Astro First dan Anugerah Gempak WeChat turut dipertandingkan dan diadili oleh juri yang dilantik PFM.

Jika tahun lalu, filem arahan pengarah hebat, Syamsul Yusof, KL Gangster berjaya dinobatkan sebagai Anugerah Filem Terhebat, pada tahun ini, sebanyak 10 filem bakal berentap meraih gelaran itu.

Antaranya, termasuk filem 29 Februari, Aku Terima Nikahnya, Jiwa Taiko, Mael Lambong, Bujang Terlajak, Istanbul Aku Datang, Adik Manja Returns, Adnan Sempit 2, Aku Ada Kau Ada??? dan Hantu Kapcai.

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Debaran, Anugerah Blockbuster 2


Kutipan Hantu Kapcai paling tinggi

Berdasarkan ramalan awal pembaca Zass, ramai yang memilih filem arahan Ghaz Abu Bakar, Hantu Kapcai sebagai pemenang.

Filem aksi komedi lakonan Zizan Razak dan Remy Ishak yang ditayangkan pada 27 September lalu berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM3.9 Juta sepanjang proses tayangan di pawagam.

Namun, tidak kurang juga dengan filem gandingan pelakon hebat, Adi Putra dan Nora Danish, Aku Terima Nikahnya dan Istanbul Aku Datang, yang memberi saingan hebat kepada filem terbitan KRU Studios itu.

Ditayangkan pada 8 November lalu, Istanbul Aku Datang arahan pengarah popular, Bernard Chauly berjaya dengan kutipan kasar RM3.58 juta.

Mempertaruhkan pelakon cantik, Lisa Surihani dan pelakon lelaki hebat, Beto Kusyairy, Bernard juga memberanikan diri untuk menampilkan penyanyi, Tomok.

Walaupun ia merupakan filem pertama lakonan Tomok, penyanyi itu berjaya menunjukkan lakonan mantap dan berkesan.

Menerusi filem romantis arahan Eyra Rahman, Aku Terima Nikahnya pula berjaya mengutip RM2.75 juta sepanjang proses tayangan yang bermula 11 Oktober lalu.

Giliran Adi Putra?

Namun, sekiranya Anugerah Filem Terhebat bukan milik Aku Terima Nikahnya, filem ini masih mempunyai peluang untuk memenangi kategori Anugerah Hero Terhebat menerusi pencalonan pelakon hebat kelahiran Singapura, Adi Putra.

Sering dipilih untuk menggalas watak antagonis, namun Adi membuktikan kemampuannya untuk menjayakan watak romantis bersama pelakon comel, Nora Danish.

Namun, kehebatan Adi tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sebelum ini, Adi pernah diberi peranan watak seumpama ini menerusi drama bersiri, Sehangat Asmara, Teduhan Kasih, Tentang Dhia, Cinta Qaseh, Maharku Untukmu dan Mencintaimu.

Mula menceburi bidang seni pada 2004, sehingga kini, Adi membintangi lebih daripada 10 filem dan 20 drama televisyen.

Pun begitu, kehebatan, populariti dan profil yang dimiliki pelawak, Zizan Razak juga perlu diambil kira menerusi kategori ini.

Malah, kemenangan itu mungkin menjadi miliknya kerana Zizan turut mempunyai kelompok peminat yang ramai dan disokong dengan kelab peminat, Zizan Razak FC.

Beberapa perkara harus diambil kira apabila Zizan sering muncul sebagai pemenang di anugerah sebelum ini dan sekali gus mematahkan impian pelakon lain.

Pernah menjulang trofi di majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) menerusi beberapa kategori termasuk, Pengacara TV Lelaki Popular (ABP 2011), Artis Komedi Lelaki Popular di (ABP 2012), dan empat kategori online termasuk Gandingan Di Layar Serasi (bersama Johan), Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial, Artis Lelaki Stailo, dan Artis Asia Paling Popular.

Malah, menerusi kategori ini, Zizan mempunyai dua pencalonan termasuk menerusi filem Mael Lambong.

Tetapi, jangan lupa pula pada nama besar seperti, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Remy Ishak, Johan Raja Lawak dan Beto Kushairy kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kelompok peminat tersendiri.

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Debaran, Anugerah Blockbuster 2
Lisa Surihani


Lisa Surihani vs Nora Danish

Bagi kategori Anugerah Heroin Terhebat pula, kemungkinan besar, Lisa Surihani mempunyai harapan untuk menang, malah namanya turut mengungguli dua pencalonan termasuk bagi filem Saya Amat Mencintaimu (SAM).

Menerusi filem, Istanbul Aku Datang, watak Lisa sebagai Dian sememangnya tidak menghampakan penonton.

Jika diselak profil seni Lisa, pelakon cantik ini pernah memenangi Anugerah Pelakon Harapan Wanita menerusi filem I'm Not Single di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada 2008 dan
Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan di FFM23 pada 2010.

Selain itu, Lisa juga pernah menjulang trofi, Pelakon Filem Wanita Popular di ABP dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Ombak Rindu di Anugerah Skrin 2012.

Namun, pemilik nama, Nora Danish juga tidak kurang hebatnya. Walaupun tidak pernah memenangi anugerah besar di sepanjang penglibatannya, aura yang ada pada Nora Danish tidak boleh dinafikan.

Malah, gandingannya bersama Adi Putra begitu serasi apatah lagi mereka pernah digandingkan bersama menerusi drama bersiri, Tentang Dhia.

Pernah mendapat lebih 20 pencalonan di anugerah berprestij, selain daripada filem Aku Terima Nikahnya, Nora berjaya membawa watak Myra bersama Rusdi Ramli menerusi filem Mencari Cinta.

Namun, perhatian harus juga diberi kepada selebriti popular yang dicalonkan termasuk Tiz Zaqyah, Yana Shamsudin, Nadiya Nisaa dan Intan Ladyana.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers