iskandarX Society Sukan - Majlis Penutup SUKMA Ke-15 Pahang Meriah



KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Acara penuh warna-warni dan gilang-gemilang memeriahkan majlis penutup Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 yang melabuhkan tirainya secara rasmi di Stadium Darul Makmur di sini, Isnin malam.






Majlis penutup temasya itu yang bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan', disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri pada majlis penutup itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Upacara dimulakan dengan Perdana Menteri menunggang basikal mengelilingi stadium, simbolik malam gilang-gemilang buat seluruh penggemar sukan tanah air.

Majlis berkenaan disaksikan lebih 40,000 penonton yang datang dari seluruh pelosok Pahang membanjiri stadium seawal pukul 5 petang.

Kombinasi konsep moden dan tradisional itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan kumpulan One Nation Emcee.

Temasya dwi tahunan yang bermula pada 1986 itu, disertai 5,828 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen termasuk pasukan jemputan, Brunei.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan piala kepada Terengganu yang muncul juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut selepas berjaya mengutip 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Sementara itu, dua atlet angkat berat negara, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus dari Sabah diumum Olahragawan dan Olahragawati SUKMA kali ini.

Majlis bersejarah itu diteruskan dengan cabutan nombor bertuah, diikuti gimik perasmian penutupan dan upacara menurunkan bendera kejohanan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri kemudian menyerahkan bendera kejohanan kepada Perlis yang diwakilkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong selaku tuan rumah SUKMA 2014.

Ia disusuli dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Perlis sebagai mengalu-alukan dan menjemput semua kontinjen menyertai SUKMA di negeri itu.

Selaku tuan rumah kali ini, Pahang menawarkan sebanyak 377 pingat emas, 377 perak dan 377 gangsa daripada 24 jenis sukan yang dipertandingkan sejak 1 Julai lepas, membabitkan 11 venue di tiga daerah di negeri itu.

-- BERNAMA

Akhirnya SUKMA telah pun berakhir dengan gemilangnya. Temasya yang patut diadakan da patut semua rakyat menyertainya untuk membuktikan bahawa Malaysia adalah negara yang sihat serta cergas.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers