#COVID19 Malaysia cadang Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN pasca Covid-19

Malaysia mencadangkan Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN pasca Covid-19, dirangka bagi memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kewangan,  bahkan jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.

#COVID19 Malaysia cadang Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN pasca Covid-19


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai Covid-19 yang telah diadakan menerusi persidangan video berkata, pelan itu perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini.

Ini termasuk memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan; di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut.

"Ada hikmah di sebalik setiap krisis. Semua negara menghadapi masalah yang sama dan kita perlu bekerjasama bagi memastikan tidak ada siapa yang tercicir," ujar beliau.

ASEAN juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.

"Malaysia menyeru Negara Anggota ASEAN agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini. Kita tidak boleh membenarkan ASEAN kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia," kata Perdana Menteri.

Malaysia juga menyokong pengwujudan Covid-19 ASEAN Response Fund (Dana Khas Covid-19 ASEAN) untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan.

"Kita perlu terus membangunkan rezab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rezab gudang simpanan ASEAN yang relevan bagi membantu  keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan," tegasnya.

Pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN, yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam (ASEAN EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.

"Saya beri jaminan bahawa Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama ASEAN," katanya.

Sumber: FB YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers