Peguam Negara gagal kesan masalah 1MDB

Peguam Negara gagal kesan masalah 1MDB
Pas menempelak Apandi kerana menjadikan Bank Negara sebagai kambing hitam.

Pas mempersoalkan kewibawaan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana dikatakan gagal mengesan masalah yang membebani 1MDB.

Sebaliknya, beliau menuding jari kepada Bank Negara yang didakwanya sebagai cuai.

Dalam kenyataannya, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata disebabkan 1MDB, nasib ramai pihak telah berubah.

“Namun nasib 1MDB dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih kelihatan teguh kerana Peguam Negara tidak dapat menghidu ada masalah terhadap 1MDB.

“Ternyata hidung Peguam Negara tidak sesensitif hidung Majlis Raja-Raja yang turut menggesa agar krisis 1MDB diselesaikan dengan cepat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga kini 1MDB masih lagi tidak perlu berdepan dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Perdana Menteri juga masih lagi belum disoal oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jikalau semua kejadian ini dijadikan kayu ukuran kepada 1MDB, ini boleh dikira sebagai krisis terbesar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bersama menuntut kebenaran dalam isu 1MDB bersama-sama dengan pembangkang terutamanya kumpulan yang pro kepada UMNO dan Barisan Nasional.

“Dalam sudut ini, Pas menegaskan kami mengalu-alukan kesudian mana-mana NGO untuk bersama pembangkang menentang UMNO dalam isu 1MDB dan kepentingan rakyat.

“Tapi Pas tidak akan sesekali mengadakan kerjasama politik dengan NGO yang bersentimenkan perkauman,” katanya.

Tegasnya, sekiranya ada di kalangan NGO cuba untuk mengapi-apikan dan melaga-lagakan kaum dan agama, Pas adalah musuh yang pertama kepada NGO itu kerana Islam melarang perkara ini dengan jelas.

“Pas akan menjadi benteng pertama menghalang NGO tersebut daripada merosakkan kehormonian kaum dengan politik perkauman yang melampau,” ujarnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers