TV Al Hijrah terus menongkah arus media perdana

TV Al Hijrah terus menongkah arus media perdana
TV Al Hijrah terus menongkah arus media perdana

TV Al Hijrah terus menongkah arus media perdana


MENDEPANI cabaran dalam dunia penyiaran bukanlah sesuatu yang mudah dijangka. Ia bagaikan satu teka-teki penuh misteri.

Namun begitu, setelah tiga tahun bersiaran, TV AlHijrah nampaknya berjaya melaluinya apatah lagi stesen penyiaran itu cuba untuk menongkah arus dengan berkonsepkan Islamik sepenuhnya.

Masyarakat semakin mengerti hala tuju TV AlHijrah yang menekankan cara hidup Islam yang hakiki bermula daripada agama, bual bicara, rancangan masakan sehinggalah kepada drama dan rencana yang disiarkan semuanya bersifat Islamik.

Ternyata, pada usia semuda tiga tahun, TV AlHijrah boleh berbangga dengan perjuangan mereka.

Pengurus Ehwal Semasa TV AlHijrah, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin berkata, pembawaan rancangan yang lebih harmoni serta berunsurkan moral menunjukkan kesediaan TV AlHijrah ke arah mempromosikan konsep ‘wasatiyyah’ (kesederhanaan) dalam Islam itu sendiri.

Jelasnya, pengisiannya juga penuh dengan perkongsian ilmu yang lebih kreatif dan menarik serta mampu diterima oleh masyarakat Islam mahupun bukan Islam.

“Apa paling penting ialah penonton boleh mendapat manfaat dan menerima maklumat yang sah dan boleh diterima sebagai agen moral baik dalam masyarakat.

“Apa sahaja rancangan yang diterbitkan oleh TV AlHijrah mesti mempunyai nilai murni yang mampu mendidik masyarakat ke arah kebaikan dan kesempurnaan dalam beragama,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam menghadapi tekanan semasa, ia sekali gus membuatkan TV AlHijrah perlu sentiasa berubah-ubah.

Katanya lagi, keperluan tontonan bukan lagi kepada penonton sedia ada, tetapi mula menjengah anak-anak muda yang sebelum ini menonton dalam ruang lingkup mereka sendiri.

“Cabaran akan lebih kompleks dengan doktrin pemikiran masyarakat yang berubah, suasana sosial yang sentiasa kurang menyebelahi dan akses maklumat tanpa sempadan.

“Kami yakin penonton perlukan perubahan itu,” katanya.

Malah,  katanya, dalam perkembangan masyarakat kini yang sudah semakin jauh ke hadapan, TV AlHijrah kini sudah boleh ditonton melalui aplikasi telefon pintar 1Malaysia.

TV Al Hijrah terus menongkah arus media perdana
TV Al Hijrah terus menongkah arus media perdana

Program semakin matang


Antara program yang begitu sinonim dengan penonton stesen TV itu ialah 30 Minit Ustaz Don yang menampilkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid selaku pengacaranya.

“Rancangan menjadi penanda aras kepada TV Alhijrah ialah 30 Minit Ustaz Don yang menjadi ikon kepada stesen TV ini.

“Ustaz Don berjaya memikat penonton melalui pengajarannya yang mudah difahami dengan loghat utaranya yang mencuit hati penonton,” katanya.

Selain itu, jelasnya lagi, kebanyakan program di stesen TV itu juga sudah pun melalui proses kematangan seperti Ayat Riwayat dan Majalah Islam.

“Ia membuktikan kepada penonton kupasan pelbagai kisah dan isu mampu diterapkan dengan nilai Islam sejagat bukan hanya cerita kosong semata-mata.

“Begitu juga dengan Isu Akidah dan Kes Syariah yang sekarang tidak lagi membawa kisah kesesatan dan ajaran sesat namun melihat dengan lebih jauh bahawa perkembangan dakwah yang efektif juga berperanan dalam mengukuhkan akidah,” katanya.

Program lain yang memberi manfaat kepada penonton ialah Assalamualaikum, Cinta Ilmu, Ejen Halal dan Menu Alam yang dikendalikan oleh Chef Ammar.

Sementara itu, bagi meraikan sambutan ulang tahunnya yang ketiga pada 1 Muharram lalu, TV AlHijrah telah mengadakan satu persembahan istimewa di Dataran Putrajaya.

Terdapat persembahan nyanyian daripada artis undangan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Heliza Helmi, Mawi, In-team, Far East, Muadz Zulkifli, Ani Syazwani, 30 Cent dan penampilan khas pelakon dari Indonesia yang membintangi filem Bila Cinta Bertasbih iaitu Kholidi Asadil Alam.

Stesen TV itu turut memaparkan imbasan detik kejayaan program terbitannya.

Acara yang berlangsung dua jam setengah itu disiarkan secara langsung di saluran TV tersebut yang dihoskan Amin Idris, Irma Hasmie, Ahmad Fadzli, Shahrul Faizi, Amie Sofea dan Farrah Adeeba.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers