ASK 2013: Bukan medan pertempuran |
ASK 2013: Bukan medan pertempuran
MULA diperkenalkan pada 1994, Anugerah Skrin (ASK) merupakan antara majlis anugerah berprestij dalam industri tempatan.
Pada mulanya, ASK hanya membuka pencalonan bagi kategori yang melibatkan terbitan televisyen dan rancangan yang disiarkan di saluran TV3 sahaja.
Bermula pada 2006, penganjur memutuskan untuk membuka peluang kepada bahan siaran RTM, TV Alhijrah dan Astro serta empat stesen televisyen di bawah naungan Media Prima, iaitu, TV3, NTV7, 8TV dan TV9.
Hampir dua dekad penganjuran, pasti ada pahit manis yang tercatat di sepanjang perjalanan majlis yang memberi pengiktirafan kepada pelakon, personaliti, rancangan televisyen dan filem tempatan ini.
Malah, kemeriahan ASK diteruskan lagi pada tahun ini apabila kurang dua minggu lagi, ASK 2013 bakal membuka tirai dan turut menjangkakan kehangatan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Seiring dengan penghasilan karya-karya televisyen yang menarik di sepanjang tahun ini, pasti menampilkan saingan lebih hebat di pentas ASK 2013.
Bakal berlangsung pada 29 November ini dan disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, majlis anugerah yang mengiktiraf hasil kerja anak seni di sepanjang tahun ini turut mencipta kelainan.
Berkongsi kemeriahan dan debaran ASK 2013, Zass mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, untuk bercerita lebih lanjut mengenai penganjuran pada tahun ini.
ASK 2013: Bukan medan pertempuran |
Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai ASK 2013?
Sejak 1994, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan usaha menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni serta karyawan tempatan.
Menariknya, pada tahun ini, ASK 2013 memasuki musim yang ke-15 dan pastinya banyak kelainan bakal diperkenalkan kepada penonton.
ASK 2013 menggandingkan dua personaliti popular, Awal Ashaari dan Faizal Ismail serta pelakon wanita, Nad Zainal sebagai pengacara majlis.
Selain itu, Scha Al Yahya dan Iqram Dinzly dipilih untuk mengemudikan acara karpet merah bersama dua pemenang dari Pertandingan Pantene Star Search.
Antara artis yang terlibat dalam persembahan pada malam itu termasuk Datuk Jamal Abdillah, Hazama, Amir Jahari, Waris, Azlan & The Typewriter, Waris, Hafiz dan Adira.
Apa pula tema yang dipilih pada tahun ini?
ASK 2013 telah memilih ‘glass’ ataupun kaca sebagai konsep kerana drama dan filem merupakan refleksi kisah sebenar dan realiti hidup manusia.
Dari segi produksi ASK 2013, elemen kaca ini akan diserapkan sepenuhnya pada malam anugerah menerusi set pentas, dekorasi keseluruhan serta pakaian dan tata rias untuk menghidupkan suasana glamor.
ASK 2013 memasuki tempoh usia matang dan ia disenaraikan sebagai anugerah yang memberi impak besar kepada penggiat seni.
ASK bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah ia juga menggalakkan mereka berusaha lebih gigih dan berkarya secara kreatif dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi sekali gus memartabatkan hasil seni negara.
Mengapakan ASK 2013 memilih untuk membuat pengumuman pencalonan lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini?
ASK 2013 memecah tradisi dengan membuat pengumuman awal lima pencalonan terbaik (Top 5) bagi 30 kategori yang bertanding menerusi rancangan, Debaran Anugerah Skrin 2013, pada 1 November lalu.
Selain mencetuskan debaran dalam kalangan finalis yang bertanding sebulan sebelum acara berlangsung, penganjur juga ingin meraikan kesemua finalis yang tersenarai kerana mereka sudah layak bergelar pemenang berdasarkan kualiti kerja yang dipersembahkan.
Apa pula kriteria yang perlu ada pada sesebuah karya untuk layak dinobatkan sebagai karya terbaik?
ASK memberi pengiktirafan kepada pengeluar drama, filem dan produksi tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan ialah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu.
Antara kriteria karya yang perlu ada ialah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap, mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton.
Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2012 hingga 30 Jun lalu. Semua pencalonan dinilai panel juri profesional yang dipilih.
Secara keseluruhan, ASK 2013 bakal mempertandingkan 30 kategori yang meliputi 11 kategori drama, tujuh kategori filem, enam kategori penerbitan dalaman dan enam kategori teknikal.
Adakah penganjuran ASK masih relevan?
Tidak dinafikan, media digital lebih mendominasi pada masa kini. Namun, fenomena ini tidak bermaksud industri penyiar televisyen dan filem akan disingkirkan.
Penggiat seni dan karyawan tanah air harus sentiasa bersikap optimis dan menggunakan semua platform media yang ada untuk terus berkarya. Semangat itulah yang terus menggerakkan industri penyiaran.
Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengelak dari terjadinya sebarang kontroversi di ASK 2013?
Bagi keputusan ASK 2013, kami meletakkan sepenuhnya di tangan barisan juri profesional dan berkaliber.
Seperti yang kami tegaskan sebelum ini, ASK bukan persaingan antara stesen televisyen semata-mata tetapi karya bermutu yang disiarkan melalui stesen-stesen ini yang dipertandingkan. Maka, saya tidak melihat sebarang kontroversi akan berlaku di ASK 2013.
Adakah ASK 2013 hanya disiarkan secara langsung di saluran TV3 sahaja?
Selain menonton secara siaran langsung di TV3, ASK 2013 juga dapat disaksikan penonton di Singapura menerusi Singtel.
Siaran langsung keseluruhan acara yang bermula dengan karpet merah pada jam 7.30 malam juga boleh dilayari secara global melalui komputer, tablet dan telefon pintar di laman web rasmi www.anugerahskrin.com.
Selain itu, acara karpet merah juga boleh ditonton di TV9 menerusi program, HIP TV pada 8.30 malam. ASK 2013 juga turut dihangatkan stesen radio Hot FM.
Apa harapan anda untuk ASK 2013?
Pengumuman Top 5 sebulan lebih awal itu diharapkan supaya kesemua finalis dapat meluangkan masa meraikan detik kejayaan apabila nama pemenang diumumkan bagi setiap kategori.
Tambahan pula, penganjuran ASK ialah untuk meraikan semua penggiat seni tanah air sama ada yang berlakon ataupun yang bekerja di sebalik tabir.
1994-1999
Anak Angkat, juara pertama ASK
ASK 1994, menyaksikan drama pertama arahan, Aziz M Osman, dinobatkan sebagai, Drama Terbaik dan berjaya menggondol lapan daripada sembilan kategori yang dipertandingkan, termasuk Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik, Aktres Terbaik, Aktor Pembantu Terbaik, Aktres Pembantu Terbaik, Suntingan Terbaik dan Videografi Terbaik.
Pada penganjuran kedua, ASK menambah bilangan kategori yang dipertandingkan sebanyak 19 kategori termasuk Anugerah Penerbitan Khas TV3, Jingle Terbaik, Penerbitan Rancangan Hiburan TV3 Terbaik dan Montaj Terbaik.
ASK 1995 turut menobatkan drama arahan, Eirma Fatima, Ratu Jamu, sebagai Drama Terbaik dan meriah tiga anugerah dari kategori lain. ASK 1996 tampil memperkenalkan kategori anugerah untuk filem tempatan termasuk pelakon dan kru produksi filem di samping anugerah yang sedia ada.
Filem pertama diangkat sebagai Filem Terbaik ialah, Sayang Salmah, suntingan pengarah, Sidi Oraza, manakala Awie diangkat sebagai Aktor Terbaik di samping Maizurah Hamzah sebagai Aktres Terbaik.
Pada penganjuran ASK 1997, ia memberi pulangan kepada drama, Jutawan Segera, arahan, Zulkifli M Osman dan turut memenangi tiga kategori termasuk Drama Terbaik, Aktres Terbaik dan Videografi Terbaik manakala filem, Merah pula berjaya meriah trofi, Filem Terbaik.
Pengarah, Aziz M Osman, mengulangi sejarah kemenangannya apabila, filem, Baginda, berjaya diangkat sebagai Filem Terbaik di ASK 1998 dan drama, Air Mata Ibu dipilih sebagai Drama Terbaik.
Penganjuran keenam, ASK 1999, menyaksikan kelainan apabila turut memperkenalkan kategori khusus untuk drama tempaan berbahasa Cina, Silk Theatre. Namun, ia hanya dipraktikkan pada tahun itu sahaja apabila kategori ini dilupuskan.
ASK 1999 mengangkat drama arahan Sidi Oraza, Surah Terakhir sebagai Drama Terbaik dan filem, Jogho, suntingan U Wei Saari sebagai Filem Terbaik.
2000-2009
Baiki kelemahan
Penganjuran ketujuh menyaksikan drama arahan, Mamat Khalid, Piang Durian merangkul anugerah Drama Terbaik dan meraih tiga anugerah lain.
Penganjuran kelapan lebih memihak kepada karya filem arahan, Eirma Fatima, Embun, manakala Aduhai Esah, dipilih sebagai Carekarama Terbaik.
Penganjuran kesembilan diadakan pada 14 Disember 2007, namun dilihat kurang berjaya apatah lagi, bilangan kategori yang dipertandingkan turut dikurangkan.
Drama Terbaik dimenangi, drama terbitan TV3, Sebuah Ijtihad manakala, Filem Terbaik diraih filem, Cinta. Namun, pada penganjuran ke-10, ASK 2008, tampil dengan 22 kategori anugerah termasuk dua anugerah khas.
Drama, Suara Saleha, diangkat sebagai Drama Terbaik manakala filem arahan Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang, sebagai Filem Terbaik.
Semakin memperbaiki kelemahan, ASK 2009, dilihat lebih konsisten berbanding penganjuran sebelum ini dan drama, Tersasar di Jalanmu, dipilih sebagai Drama Terbaik dan filem, Wayang, diangkat sebagai Filem Terbaik.
2010-2013
Fesyen artis jadi teguran
Sebagai pembuka tirai di era 2010, ASK turut mencipta sejarah pertama kontroversi yang melibatkan selebriti.
Pelakon kecil molek, Syarifah Amani 'ditegur' mengenai etika pemakaian ketika naik ke pentas untuk menerima anugerah, Pelakon Wanita Terbaik Filem.
Bukan sahaja mendapat sindiran daripada penyampai anugerah, Seniman Datuk Aziz Sattar, aktres, Erra Fazira dan Eja, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Tan Sri Dr Rais Yatim, turut menegur cara berpakaian setiap artis yang hadir.
Sehubungan itu, Kumpulan Media Prima Berhad, digesa supaya membuat penilaian semula berhubung etika berpakaian dalam majlis anugerah anjurannya berikutan kekecewaan beberapa pihak mengenai pemakaian artis wanita.
Namun, Amani muncul cemerlang apabila dua produksi lakonannya, filem Muallaf dan drama, Antara Garisan meraih anugerah Filem Terbaik dan Drama Terbaik.
Kemenangan luar jangkaan Pada ASK 2011 pula, pelakon dan pelawak, Sabri Yunus, merangkul kejayaan besar apabila, drama pertama arahannya, Sanggul Beracun, menerima empat anugerah termasuk kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Menurut pelakon yang terkenal dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, itu, dia tidak menyangka percubaan pertama mengarah dan menulis sendiri skrip drama tersebut membawa tuah kepadanya.
Selain anugerah Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik, Sanggul Beracun turut membawa pulang anugerah Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.
Selain itu, ASK 2011 turut mengangkat filem terbitan KRU Studios, Magika sebagai Filem Terbaik sekali gus mengalahkan empat filem lain iaitu, Cun!, Aku Tak Bodoh, Janin dan Dilarang Masuk.
ASK 2012, membosankan?
Mengangkat tema alam fantasi, ASK 2012 lebih menarik dari segi latar malah, namun, ia membosankan dan hanya tertumpu kepada lakonan di pentas oleh penyampai sahaja.
Tidak terkecuali, ASK 2012, turut terpalit dengan beberapa kontroversi termasuk kata-kata pelakon dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor.
Selain itu, pemakaian artis wanita juga turut menjadi pertikaian apabila fesyen pelakon cantik, Tasha Shila, turut menjadi kritikan kerana dikatakan berbentuk salib.
Namun, malam penganugerahan itu berlangsung dengan jayanya dan ASK 2012 menobatkan drama terbitan, Filmscape Sdn Bhd, Di Telapak Kaki Bonda, sebagai Drama Terbaik dan filem arahan Dain Said, Bunohan sebagai Filem Terbaik.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.